UTM jamin beri kerjasama penuh siasatan kes kematian pelatih Palapes

JOHOR BAHRU - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan memberikan jaminan untuk bekerjasama kepada keluarga serta pihak berkuasa dalam siasatan punca kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) UTM Skudai, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22.
Menerusi satu kenyataan, UTM menegaskan jaminan itu diberikan bagi membolehkan siasatan dapat dijalankan selaras dengan keperluan undang-undang.
"UTM mengambil maklum mengenai sidang media yang diadakan semalam oleh pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama-sama ahli keluarga Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin.
"Pihak UTM merakamkan penghargaan dan terima kasih atas keprihatinan semua pihak.
"UTM menghormati pihak keluarga dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya," menurut kenyataan berkenaan pada Rabu.
Sebelum ini media melaporkan Ibu kepada Allahyarham Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, menuntut kubur anaknya itu digali semula bagi melakukan bedah siasat kali kedua.
Difahamkan, tuntutan itu dibuat kerana tidak yakin punca kematian anak sulung daripada tiga beradik itu disebabkan sawan sebagaimana yang dimaklumkan pihak terbabit.
Menurut Ummu Haiman, dia percaya Allahyarham anaknya itu dibelasah, dipukul dan didera hingga meninggal dunia ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Darat (Pulada), Ulu Tiram, di sini, pada 28 Julai lalu.
Pada 1 Ogos lalu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitenden Yusof Othman dilaporkan berkata, siasatan menyeluruh termasuk merakam percakapan saksi-saksi dan pegawai perubatan yang terlibat bagi mengenal pasti punca sebenar insiden berkenaan.
Bagaimanapun katanya, hingga kini dia belum menerima sebarang perkembangan hasil siasatan berkenaan.
Ummu Haiman juga memaklumkan sudah melantik peguam dan memberitahu Menteri Pengajian Tinggi mengenai perkara itu, selain dimaklumkan satu jawatankuasa khas ditubuhkan untuk menyiasat kes berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
