'Tanda pada dada arwah seolah-olah akibat dipukul, dicucuk objek' - Ibu Syamsul Haris

KUALA LUMPUR – Keluarga kepada Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, menuntut siasatan telus dan segera dijalankan bagi merungkai punca sebenar kematian pelatih kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai yang disifatkan meragukan.
Ibunya, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, berkata, beliau curiga dengan keadaan jenazah anaknya yang menunjukkan pelbagai kesan kecederaan ketika ditemui di Unit Forensik selepas dimaklumkan mengenai kematian anaknya itu.
Dakwanya, tanda pada dada arwah seolah-olah akibat dipukul atau dicucuk menggunakan objek, selain pendarahan teruk dari hidung yang berwarna pekat dan gelap, bukan merah seperti biasa.
“Saya percaya ia bukan kesan tebukan untuk bantuan pernafasan seperti yang dimaklumkan, tetapi akibat hentakan kuat di kepala. Mata kanan arwah juga seperti ditumbuk, manakala mulut dan leher terdapat luka yang saya anggap luar biasa.
“Saya juga perasan ada kesan umpama ditikam atau terkena objek tajam, selain lebam pada bahu, abdomen dan sekitar mata. Keadaan ini seperti arwah dipukul atau didera,” dakwanya dalam sidang media di sebuah restoran di ibu negara di sini pada Selasa.

Ummu Haiman berkata, lapik tilam di katil anaknya turut berlumuran darah yang amat pekat dan kering, sekali gus menolak kemungkinan ia berpunca daripada sawan atau penggunaan oksigen semata-mata.
Jelasnya, beliau mengesyaki insiden itu ada kaitan dengan latihan menembak yang dijalani arwah, walaupun dimaklumkan tiada penggunaan peluru.
“Saya pasti anak saya didera hingga kehilangan nyawa. Saya mahu punca kematian sebenar, bukan alasan yang tidak tepat.
"Saya mohon sebuah jawatankuasa siasatan yang telus ditubuhkan tanpa melindungi mana-mana pihak, walaupun melibatkan individu berjawatan dalam Palapes,” tegasnya.
Pada Selasa, media melaporkan, keputusan siasatan kes kematian Allahyarham Syamsul Haris akan diketahui dalam masa terdekat.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dilaporkan berkata, Kementerian Pertahanan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat kes itu yang turut disertai Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
Jelasnya, jawatankuasa khas berkenaan akan membuat kajian dan memastikan supaya laporan lengkap dapat disediakan dalam kadar segera berhubung kematian pelajar tersebut.
Perkara itu dimaklumkan Zambry pada sidang Dewan Rakyat pada Selasa dan beliau turut memaklumkan, kes tersebut berada di peringkat siasatan dan laporan siasatan dijangka diketahui dalam masa terdekat.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) yang meminta penjelasan menteri mengenai perkembangan lanjut kes kematian Syamsul Haris yang mendapat perhatian umum.
Ketika diminta mengulas mengenai perkembangan tersebut, Ummu Aiman berkata, dia akan menunggu keputusan hasil siasatan jawatankuasa khas berkenaan namun jika keputusan itu masih meragukan dia tidak akan berputus asa untuk terus berjuang bagi menegakkan keadilan buat anaknya itu.
Syamsul Haris meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi (HKT) selepas selesai menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) di Johor.
Susulan itu, pada 1 Ogos lalu ibunya dilapor menuntut siasatan segera dijalankan berhubung kematian anaknya disebabkan punca kematian yang belum jelas serta meragukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

