Al-Quran sebagai panduan memelihara kemerdekaan

Fazrul
Fazrul
A
A
A

SHAH ALAM - Kemerdekaan bukan sekadar melihat Jalur Gemilang berkibar megah atau berdiri menyanyikan lagu kebangsaan, sebaliknya perlu diisi penghayatan terhadap kepayahan dan keperitan orang lain, sekali gus mengajak setiap individu berkongsi keamanan.

Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail berkata, naratif tersebut selari tema Malaysia #QuranHour 2025 iaitu Merdeka Dengan Rasa yang menekankan pentingnya menghayati kemerdekaan dengan hati dan perasaan.

Dalam Islam, katanya, kemerdekaan membawa maksud beralih daripada kehambaan sesama manusia kepada kehambaan kepada ALLAH SWT yang mendorong manusia memandang semua orang adalah sama.

“Bila kita hambakan diri kepada Tuhan, kita akan memandang semua orang sama, perlu dibantu, dihargai dan sebarang perbezaan diraikan dengan saling memaafkan.

“Jika ada yang melanggar peraturan, kita nasihatkan atau jika perlu dihukum selepas itu dididik untuk membina kembali negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Fazrul berkata, dalam konteks Malaysia, al-Quran boleh menjadi panduan untuk memelihara kemerdekaan yang ada.

“Dengan kemerdekaan, seseorang akan menjadi hamba ALLAH, tidak berperkauman dan lebih berintegriti. Dia akan melakukan apa dikata, saling menguatkan seperti binaan kukuh dan sanggup berjuang memastikan kemerdekaan ini kekal,” jelasnya.

Beliau turut mengalu-alukan penyertaan rakyat Malaysia dalam Malaysia #QuranHour bersempena Hari Kebangsaan sebagai simbol penyatuan hati dan hala tuju negara berpaksikan nilai ketuhanan.

Dalam masa sama, Fazrul menitipkan harapan generasi muda terus membaca, memahami dan mengamalkan ajaran al-Quran.

Artikel Berkaitan:

“Al-Quran adalah panduan daripada pencipta yang mengetahui segalanya. Walaupun kita ada teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI), kita tetap memerlukan kebijaksanaan daripada Maha Bijaksana. Trend ikut ALLAH SWT ini tidak pernah lapuk,” katanya.

Malaysia #QuranHour tahun ini akan berlangsung sehari sebelum Hari Kebangsaan bermula jam 12 tengah hari hingga 1 petang di lokasi perdana yang dilaksanakan serentak di seluruh negara.

RTM bertindak sebagai penyiar utama bersama rakan media seperti Astro Awani, Astro Oasis, TV AlHijrah, TV9, Bernama, Sinar Harian, Media Prima, IKIM FM, Zayan FM, TV IKIM, Denaihati Network, Nu Ideaktiv dan Santai Travel.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!