Kes Jalur Gemilang terbalik wajar jadi peringatan tegas menjelang Hari Kebangsaan

Dr Hafidzah (tengah) memacakkan Jalur Gemilang di pagar Pasar Kubang Pasu di Kota Bharu. Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
Dr Hafidzah (tengah) memacakkan Jalur Gemilang di pagar Pasar Kubang Pasu di Kota Bharu. Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU – Kejadian Jalur Gemilang dipasang terbalik, termasuk melibatkan individu orang kurang upaya (OKU) menjelang Hari Kebangsaan, wajar menjadi peringatan tegas agar tiada lagi pihak mengulangi perbuatan tersebut sama ada secara sengaja atau tidak.

Naib Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN), Dr Hafidzah Mustakim berkata, insiden itu bukan perkara remeh kerana bendera adalah lambang kedaulatan yang perlu dihormati oleh semua lapisan masyarakat.

“Kita menerima penjelasan bahawa ada kes dilakukan membabitkan individu berkeperluan khas, namun jangan jadikan alasan.

“Pemantauan perlu lebih ketat, tidak boleh ada lagi yang tidak disengajakan, jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga,” katanya kepada pemberita sempena Kembara Merdeka Dewan Undangan (DUN) Kota Lama di Pasar Kubang Pasu di sini pada Jumaat.

Sebelum ini, media melaporkan polis menerima sebanyak 38 laporan berhubung pengibaran Jalur Gemilang secara terbalik yang tular di media sosial di seluruh negara, melibatkan 17 laporan diterima di Pulau Pinang, manakala 21 lagi di negeri lain.

Dr Hafidzah, yang juga Ahli Dewan Undangan Kota Lama, mengakui individu OKU terbabit mungkin tidak sengaja melakukan kesalahan itu, namun tindakan berkenaan tetap menjadi pengajaran penting agar semua pihak lebih peka terhadap simbol rasmi negara.

Dr Hafidzah (kanan) turut mengagihkan bendera kepada pengguna jalan raya. Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
Dr Hafidzah (kanan) turut mengagihkan bendera kepada pengguna jalan raya. Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

Menurutnya, pihak berkuasa tempatan serta jabatan berkaitan juga perlu lebih proaktif memberi penerangan dan panduan jelas kepada masyarakat, termasuk komuniti itu, tentang tatacara mengibarkan bendera.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata Kembara Merdeka DUN itu tahun ini diberi suntikan berbeza, bukan sekadar mengagihkan Jalur Gemilang tetapi turut memacak bendera di mercu tanda serta lokasi strategik di 10 mukim sekitar Kota Lama, termasuk Pasar Siti Khadijah.

“Tahun lepas, kami sekadar beri bendera, kali ini kami tolong pacakkan di setiap mukim antara 50 hingga 100 bendera.

“Kalau jumpa bendera lusuh, kami turunkan dalam usaha mendidik masyarakat untuk mengibarkan Jalur Gemilang dengan tatacara yang betul,” katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!