'Tambah tong sampah tak selesai masalah'

Lokasi pembuangan sampah di Kampung Haji Palil terletak terlalu hampir dengan rumah penduduk.
Lokasi pembuangan sampah di Kampung Haji Palil terletak terlalu hampir dengan rumah penduduk.
A
A
A

RUANGAN Apa Khabar Rakyat kali ini menyingkap keluhan penduduk di Batu 16, Kampung Haji Palil, Dusun Tua, Hulu Langat yang mendesak penyelesaian segera isu pembuangan sampah yang terlalu hampir dengan kediaman mereka, hingga menimbulkan pelbagai kesulitan.

Ikuti laporan wartawan Sinar Harian, MOHD AZLIM ZAINURY mengenai keresahan penduduk yang menuntut tindakan tuntas, bukan janji semata-mata.

Penduduk di Batu 16, Kampung Haji Palil, Dusun Tua, Hulu Langat sudah tidak tahan lagi dengan masalah longgokan sampah yang turut menyebabkan bau busuk di kawasan itu.

Difahamkan, lokasi pembuangan sampah di kawasan itu bukan sahaja digunakan penduduk kampung berkenaan, tetapi juga dari beberapa kampung berhampiran.

Penduduk, Juhari Said, 65, berkata, penduduk menggesa campur tangan daripada wakil rakyat, pegawai daerah dan pihak berkuasa.

“Jangan hanya tambah tong sampah. Itu bukan penyelesaian sebenar. Cadangan penduduk jelas, lokasi itu perlu dipindahkan segera ke kawasan yang lebih luas, lapang dan jauh dari rumah penduduk,” katanya.

Gambar dari kiri: Juhari, Atijah, Ismail
Gambar dari kiri: Juhari, Atijah, Ismail

Menurutnya, penduduk bersedia untuk membantu dan memberikan kerjasama penuh jika pihak berwajib komited untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pertambahan penduduk tidak seiring dengan peningkatan kemudahan asas seperti lokasi pembuangan atau pengurusan sampah yang sesuai.

“Kalau dulu 10 rumah, sekarang lebih 50, tapi tempat pembuangan sampah masih sama. Sampah pula semakin banyak. Jadual kutipan pula tidak mampu menyelesaikan isu sampah yang bertimbun. Apakah sebenarnya perancangan pihak berkuasa?” soalnya.

Juhari mencadangkan supaya kutipan harian dijadikan langkah jangka pendek sambil menunggu pemindahan tapak pembuangan tetap kerana sekurang-kurangnya mereka tidak perlu hidup dengan bau sampah setiap hari.

Atijah Che Awang, 70, pula berkata, rumahnya hanya 10 meter dari lokasi buangan sampah berkenaan justeru bau busuk sudah lama menghantuinya.

“Saya tutup tingkap 24 jam. Bau menusuk hidung. Lalat pun menjadi-jadi masuk ke rumah. Kalau orang luar datang, mesti sangka rumah kami dekat tapak pelupusan,” katanya.

Dia mencadangkan agar pihak berkuasa tempatan bersama wakil rakyat bukan sekadar menerima laporan tetapi turun padang melihat dan merasai sendiri penderitaan mereka.

Sementara itu, ketika turun padang meninjau permasalahan di Batu 16, Kampung Haji Palil, Dusun Tua, Hulu Langat bersama penduduk wakil, Penolong Pengurus Besar Komunikasi Korporat KDEBWM, Mahfuzah Muhamad Tarmidi menjelaskan, pihaknya mengambil maklum segala isu yang dibangkitkan dan memberikan jaminan bahawa kutipan sampah akan berjalan lebih lancar bermula 1 September ini, selaras dengan pelaksanaan kontrak baharu.

“Kawasan ini merupakan kampung tradisi, jadi ada kekangan tertentu. KDEBWM hanya pastikan kutipan ikut jadual. Jika ada kelewatan, kami mohon maaf dan akan perbaiki,” ujarnya

Beliau turut menyarankan agar perbincangan bersama pihak berkuasa tempatan dan ketua kampung dipergiat kan supaya isu lambakan sampah dapat diselesaikan secara menyeluruh, bukan bersifat sementara.

Ismail (kiri) memberikan penerangan kepada Mahfuzah (kanan) yang turun padang meninjau isu sampah di Batu 16, Kampung Haji Palil, Dusun Tua.
Ismail (kiri) memberikan penerangan kepada Mahfuzah (kanan) yang turun padang meninjau isu sampah di Batu 16, Kampung Haji Palil, Dusun Tua.

Dalam usaha mencari jalan penyelesaian, penduduk mencadangkan langkah segera kepada pihak berkuasa tempatan dan kontraktor pengurusan sisa.

Menurut Ismail Yunus, 72, langkah paling segera yang boleh diambil adalah memindahkan tapak pelupusan sementara itu ke lokasi lebih jauh dari penempatan.

“Kalau tiada tanah lapang yang sesuai, gunakan kawasan berhampiran dewan atau padang awam yang jaraknya sekurang-kurangnya 100 meter dari kawasan rumah,” ujarnya.

Tambahnya, terdapat juga pandangan daripada pemerhati komuniti yang mencadangkan solusi lebih sistematik bagi tempoh jangka pendek dan panjang.

Katanya, cadangan jangka pendek termasuk pemindahan segera tong sampah ke lokasi lebih strategik selain penambahan kekerapan kutipan oleh kontraktor yang dilantik oleh KDEB Waste Management (KDEBWM).

“Semburan bahan kawalan bau dan lalat secara berkala juga boleh dibuat selain kawalan serta papan tanda larangan pembuangan haram,” katanya.

Jelasnya, cadangan jangka panjang pula merangkumi penubuhan pusat pengumpulan sampah tertutup yang dikendalikan bersama penduduk dan pemimpin setempat.

Tambahnya, cadangan lain ialah pembinaan tapak pelupusan kekal di luar radius penempatan, pelaksanaan sistem pengasingan sisa di punca dan pendidikan komuniti tentang kitar semula serta penggunaan aplikasi aduan digital berasaskan lokasi.

Dalam pada itu katanya, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) diharap segera tampil dengan pelan tindakan konkrit bagi mengembalikan keselesaan hidup komuniti kampung tersebut.

“Sampah ini isu kesihatan. Jangan tunggu ada kes demam denggi atau jangkitan kuman baru mahu bertindak,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!