Dana insurans rakyat patut digunakan selesai masalah air, elektrik - Shafie Apdal

KOTA KINABALU-Ketua Pembangkang Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mempersoalkan keutamaan kerajaan Sabah dalam menyediakan skim insurans kepada lebih tiga juta rakyat negeri itu, sedangkan masih banyak keperluan asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya belum diselesaikan sepenuhnya.
Mohd Shafie (Warisan-Senallang) berkata, walaupun inisiatif perlindungan insurans itu kedengaran baik pada dasarnya, namun pelaksanaannya perlu dinilai secara teliti supaya tidak menimbulkan pembaziran atau ketirisan dalam pengurusan kewangan negeri.
"Bukan kita menolak pembangunan, diumumkan insurans untuk 3.7 juta rakyat tapi saya tidak pernah dengar mana-mana negara sedang membangun yang beri insurans kepada semua rakyatnya.
"Walaupun insurans ini melibatkan anak syarikat kerajaan negeri, tetapi bagaimana premiumnya? Daripada 3.7 juta rakyat Sabah, berapa ramai sebenarnya yang terlibat dengan kemalangan atau kematian, mungkin tidak sampai sejuta orang.
"Siapa yang akan mendapat manfaat, sedangkan di peringkat Sabah memerlukan kewangan untuk mengatasi isu air, elektrik dan jalan raya," katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan ucapan dasar Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Isnin.
Mohd Shafie menegaskan, pendekatan kerajaan perlu difokuskan keperluan utama rakyat khususnya golongan miskin dan bukan mewujudkan program bersifat populis semata-mata.
"Kedengaran bagus, tapi 3.7 juta ada orang kaya buat apa kita berikan insurans kepada orang kaya, yang kita nak bantu adalah rakyat miskin di Sabah ini. Kita nak bina negara, bukan bina kekayaan individu.
"Kita kena bantu rakyat kita, jangan buat ketirisan dan pembaziran," katanya.
Sehubungan itu, Mohd Shafie meminta kerajaan negeri menjelaskan secara terperinci jumlah premium yang dibayar kepada syarikat insurans, serta bentuk perlindungan yang disediakan.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan kerajaan negeri mengumumkan, kira-kira 3.5 juta penduduk di Sabah bakal menikmati perlindungan insurans secara percuma menerusi Skim Insurans Berkelompok yang telah diluluskan dalam mesyuarat Kabinet Rabu lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

