Sentuhan diplomasi Malaysia terus ditagih antarabangsa

Bangladesh memohon bantuan Malaysia untuk menyelesaikan isu Rohingya, etnik tanpa negara yang mengharapkan ihsan negara Islam itu untuk tinggal di kem pelarian berhampiran Sungai Naf yang bersempadan dengan Myanmar. - Gambar hiasan
Bangladesh memohon bantuan Malaysia untuk menyelesaikan isu Rohingya, etnik tanpa negara yang mengharapkan ihsan negara Islam itu untuk tinggal di kem pelarian berhampiran Sungai Naf yang bersempadan dengan Myanmar. - Gambar hiasan
A
A
A

SELEPAS menjadi orang tengah dalam konflik antara Thailand-Kemboja baru-baru ini, sekali lagi peranan Malaysia ditagih untuk membantu dalam penyelesaian krisis serantau.

Kali ini Bangladesh pula memohon bantuan Malaysia untuk menyelesaikan isu Rohingya, etnik tanpa negara yang mengharapkan ihsan negara Islam itu untuk tinggal di kem pelarian berhampiran Sungai Naf yang bersempadan dengan Myanmar.

Dalam rangka lawatan ke Malaysia sejak Isnin lalu, Ketua Penasihat Bangladesh, Dr Muhammad Yunus meminta bantuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi segala bentuk bantuan yang boleh termasuk menggerakkan usaha diplomatik sebagai Pengerusi ASEAN.

Isu membabitkan pelarian Rohingya bukanlah asing di negara kita, apatah lagi sejak 1970-an lagi kita menerima etnik ini atas dasar agama dan perikemanusiaan.

Justeru tidak hairanlah jika Dhaka yakin Putrajaya mampu memainkan peranan penting dalam isu kemanusiaan yang kian menghimpit bersandarkan pengalaman bersama antara kedua-dua negara dalam menangani krisis ini.

Bangladesh merupakan antara negara paling terkesan dengan kemasukan pelarian Rohingya dari Myanmar setiap kali konflik di Sittwe berlaku.

Rombongan pelarian yang tinggal di kampung-kampung berdekatan sempadan Myanmar berbondong-bondong akan masuk ke Bangladesh, sehinggakan Kem Kutupalong yang menempatkan lebih 300,000 pelarian menjadi kem penempatan sementara paling besar di dunia, cukup untuk menceritakan betapa kompleksnya isu berkenaan untuk diselesaikan dalam tempoh segera.

Di Malaysia juga tidak kurang getirnya kerana beberapa kawasan seperti Selayang, Ampang dan beberapa kawasan di Lembah Klang dibanjiri etnik ini. Itu belum dikira berapa banyak kapal berlabuh di Langkawi membawa pelarian yang merentasi Teluk Benggal dan Laut Andaman, demi kelangsungan hidup.

Dalam pada kita bercakap soal kemanusiaan, sudah tentu kita jangan lupa bahawa mereka juga tidak pernah minta untuk hidup tanpa negara.

Artikel Berkaitan:

Apa pun, isu ini mesti dilihat dalam skala yang lebih besar iaitu satu dasar yang lebih kukuh perlu diperkenalkan agar bukan hanya Malaysia, Bangladesh atau mana-mana negara lain saja yang perlu pecah kepala memikirkan apa penyelesaian terbaik untuk Rohingya ini. Semua pihak dan negara serantau perlu bersatu selesaikan krisis yang terus berlarutan ini demi kepentingan bersama dan juga atas dasar perikemanusiaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!