Mendepani konflik manusia, hidupan liar

USAHA mengurangkan kemalangan melibatkan manusia dan hidupan liar di jalan raya berisiko tinggi terus diperhebat melalui kerjasama Kementerian Pengangkutan (MoT) dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk WWF-Malaysia dan The Selangor and Federal Territory Engineering and Motor Parts Traders Association (EMPTA).
Demikian apa yang dikongsikan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook selepas pihaknya mengadakan mesyuarat bersama kedua-dua NGO terlibat pada Isnin.
Kerjasama itu dikatakan bakal memberi tumpuan khusus di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli iaitu laluan yang sering kali meragut nyawa gajah, harimau dan tapir.
Menerusi majlis menandatangani surat setuju terima (LoA), pelbagai langkah strategik dirancang, antara lain memperkukuh kempen kesedaran, pendidikan pemandu dan menambah baik infrastruktur jalan demi keselamatan semua pengguna dan kelestarian alam sekitar.
Kita semua tahu Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik–Jeli tidak hanya menjadi laluan penghubung negeri, tetapi juga kawasan penting bagi pergerakan hidupan liar, lebih-lebih lagi spesies yang diancam kepupusan seperti harimau.
Mengimbas kembali pengalaman penulis membuat kerja lapangan mengenai Harimau Malaya di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kemar, Gerik tiga minggu lepas, melalui jalan raya di situ menjadi satu kemestian.
Ketika itu kerja-kerja pembaikan dan pemasangan 385 lampu jalan solar di sepanjang JRTB sedang dijalankan selepas Kementerian Kerja Raya (KKR) umum peruntukan tambahan sebanyak RM55 juta.
Ia rentetan kes yang membuatkan satu Malaysia menangis melibatkan seekor anak gajah maut dilanggar lori kontena pada 11 Mei dan kemalangan bas persiaran hingga meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 9 Jun lalu. Kedua-duanya berlaku di lebuh raya sama.
Dapat penulis simpulkan bahawa usaha sedemikian membuktikan keseriusan kerajaan dan NGO dalam menangani isu yang merisikokan manusia serta hidupan liar, bukan omong kosong semata-mata.
Bercakap tentang konflik manusia-hidupan liar di sepanjang JRTB bahkan landskap Belum-Temengor, ia bukan perkara baharu yang kita dengar. Saban hari ada sahaja kemalangan maut dilaporkan di dada akhbar dan media sosial.
Penulis berkesempatan menemu bual dua daripada 15 jumlah keseluruhan Tok Batin yang menjaga RPS Kemar, iaitu Arof Botak dari Kampung Katong dan Abu Bakar Ali dari Kampung Ralak. Kedua-duanya memberitahu sudah lali dengan keberadaan gajah liar di kawasan kampung bahkan sudah 40 tahun ‘tidak tidur lena’ gara-gara diganggu haiwan tersebut. Ini kerana gajah akan datang mencari makanan di sekitar halaman rumah dan tiba-tiba bertukar agresif seandainya ternampak kelibat manusia walaupun ketika itu tiada elemen provokasi.
Menyelami kisah penduduk di kawasan tersebut, ada antaranya berkongsi kisah pernah dikejar gajah liar, bahkan ahli keluarga cedera parah sehinggakan maut akibat dipijak serta ditanduk dengan gading.
Masing-masing beranggapan bahawa kerajaan perlu mengambil kira keselamatan penduduk di sekitar landskap Belum-Temengor juga, selain menumpukan JRTB memandangkan kedua-dua lokasi terletak berhampiran. Kata mereka, kerajaan juga disaran membuka satu kawasan rizab dalam ribuan hektar untuk menempatkan hidupan liar seperti gajah dan harimau, jauh daripada penempatan manusia serta tidak boleh diakses pemburu haram.
Selain itu, tambahnya, pemasangan dinding konkrit di sekitar kawasan didiami manusia juga amat penting.
Ini boleh menyelamatkan kedua-dua pihak, orang ramai tidak perlu takut dengan ancaman hidupan liar dan binatang buas itu pula bebas mencari makanan tanpa bimbang diganggu manusia.
Tuntasnya, usaha pelbagai kementerian dan NGO cukup memuaskan, namun strategi yang boleh memanfaatkan manusia serta hidupan liar perlu diberi perhatian lanjut supaya situasi menang-menang boleh dicapai.
*Aisyah Basaruddin ialah wartawan Meja Nasional Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

