Kerajaan, NGO perangi risiko kemalangan manusia dan hidupan liar

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Kementerian Pengangkutan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memperkukuh usaha mengurangkan risiko kemalangan melibatkan manusia dan hidupan liar, khususnya di kawasan jalan raya berisiko tinggi.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat bersama WWF The Selangor and Federal Territory Engineering and Motor Parts Traders Association (EMPTA) di sini pada Isnin.
Menurutnya, mesyuarat tersebut disusuli majlis menandatangani Letter of Agreement (LoA) antara WWF-Malaysia dan EMPTA bagi melaksanakan pelbagai langkah strategik di Lebuhraya Gerik–Jeli, laluan yang pernah meragut nyawa hidupan liar seperti gajah, harimau dan tapir.
“Melalui kerjasama ini, kita akan mempergiat kempen kesedaran, memperkukuh pendidikan pemandu, serta menambah baik infrastruktur jalan demi keselamatan semua pengguna dan kelestarian alam sekitar,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Anthony menyeru semua pengguna jalan raya supaya memperlahankan kenderaan dan berwaspada di kawasan lintasan hidupan liar bagi mengelakkan kemalangan.
“Peka dengan keadaan sekeliling dan memandu secara berhemah bukan sahaja dapat menyelamatkan nyawa manusia tetapi juga memastikan kelangsungan spesies berharga negara,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

