Najib tidak putus solat tahajud, doa akhirnya dimakbulkan- Mohamad Nizar

KUANTAN - Anak sulung bekas Perdana Menteri, Datuk Mohamad Nizar mendedahkan bahawa ayahnya, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah putus menunaikan solat tahajud setiap hari sebelum tarikh perbicaraan di mahkamah.
Mohamad Nizar berkata, rutin itu dilakukan Najib dengan harapan agar keadilan dapat ditegakkan.
"Ayahanda Najib Razak berkata kepada saya, beliau tidak pernah putus solat tahajud pada jam 5.30 pagi setiap hari sebelum tarikh bicara.
"Akhirnya, ALLAH SWT menjawab doa yang dipohon oleh hamba-Nya yang teraniaya," katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya pada Rabu.
Sebelum itu, Mohamad Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya menzahirkan rasa syukur kerana keputusan mahkamah memihak kepada ayahnya.
Katanya, Mahkamah Persekutuan sebulat suara menolak rayuan Peguam Negara (AG) yang bertujuan menyekat permohonan Najib untuk memulakan semakan kehakiman bagi membenarkan perintah tahanan rumah.
"Ini merupakan satu kemenangan moral yang begitu besar buat Bossku," katanya.
Tambahnya, Hakim Mahkamah Persekutuan bersetuju bahawa salinan Titah Adendum yang disahkan oleh Istana Pahang dibenarkan sebagai bukti di mahkamah.
Jelasnya, kewujudan dokumen yang menitahkan perintah tahanan rumah tidak boleh dipertikaikan, malah diakui sendiri oleh Peguam Negara.
"Terima kasih tidak terhingga kepada Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim bersama hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang turut bersidang.
"Mereka memberi komitmen agar perbicaraan di peringkat Mahkamah Tinggi akan berlangsung secepat mungkin dan tidak akan mengambil masa terlalu lama," katanya.
Pada Rabu, Peguam Negara gagal dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan keputusan yang membenarkan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman bagi perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Susulan itu, semakan akan diteruskan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengikut tarikh-tarikh yang telah ditetapkan.
Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.
Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab serta mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh Januari tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

