Sejam dikejar, pencuri kabel rempuh sekatan, bergelut dengan polis akhirnya dicekup

Kabel yang dicuri antara barang yang dirampas polis.
Kabel yang dicuri antara barang yang dirampas polis.
A
A
A

KOTA KINABALU - Cubaan dua lelaki curi kabel meloloskan diri gagal apabila akhirnya berjaya ditumpaskan polis selepas mengejar selama sejam dari Kota Kinabalu ke Telipok di sini pada Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, kegiatan dua lelaki tempatan berusia 30-an yang cuba melakukan jenayah tersebut terbongkar semasa sepasukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) menjalankan rondaan cegah jenayah di Jalan Maktab Gaya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, semasa anggota MPV melakukan rondaan, terdapat sebuah pacuan empat roda dilihat dalam keadaan mencurigakan diletakkan di tepi jalan.

"Pemerhatian mendapati dua lelaki sedang memotong kabel dan sebaik mereka menyedari kehadiran polis, kedua-dua suspek telah masuk ke dalam kenderaan dan memecut lari menghala ke Pekan Foh Sang.

"Suspek telah bertindak agresif dengan memandu secara melulu dan berbahaya, termasuk merempuh sekatan jalan dan menghimpit kenderaan MPV polis sehingga hampir menyebabkan kemalangan.

"Sebaik tiba berhampiran Taman Putra Perdana Telipok, kenderaan suspek terbabas ke pembahagi jalan apabila tayar kiri dan kanan belakang pecah, dipercayai akibat melanggar lubang besar di kawasan tersebut.

"Setelah kenderaan terhenti, kedua-dua suspek bertindak cuba melarikan diri, namun berjaya ditangkap selepas berlaku pergelutan dengan anggota polis," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menghadiri perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di sini pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Kasim (tiga dari kanan) menunjukkan antara peralatan digunakan untuk melakukan kegiatan curi kabel di Kota Kinabalu.
Kasim (tiga dari kanan) menunjukkan antara peralatan digunakan untuk melakukan kegiatan curi kabel di Kota Kinabalu.

Tambah Kasim, hasil pemeriksaan pada kenderaan suspek, berjaya menemui barangan curi dan beberapa peralatan disyaki digunakan untuk melakukan kegiatan tersebut.

"Antara peralatan dirampas ialah alat pemotong kabel, beberapa batang kabel yang telah dipotong, pistol tiruan dan pacuan empat roda yang digunakan dalam jenayah tersebut.

"Selain itu, turut ditemui dadah jenis syabu seberat 0.44 gram dan hasil ujian air kencing didapati kedua-duanya positif methamphetamine," katanya.

Beliau menjelaskan, kedua-dua suspek kini disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960, Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!