Gelombang solidariti #JusticeForZara baik, namun berpada elak cetus spekulasi tak wajar - Hajiji

KOTA KINABALU - Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan gelombang solidariti dengan tanda pagar #JusticeForZara yang digerakkan orang ramai dan warga maya untuk menuntut keadilan sebagai satu tindakan yang baik.
Bagaimanapun, beliau dalam masa sama menasihatkan orang ramai supaya mengelak daripada mencetuskan pelbagai spekulasi yang tidak wajar.
"Kita serahkan kepada pihak polis dan pihak berwajib lain untuk membuat siasatan dan berharap pihak berkuasa dapat melengkapkan siasatan secepat mungkin demi mendapatkan keadilan untuk semua pihak," katanya.
Beliau berkata demikian selepas bertemu Noraidah Lamat, 45, iaitu ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina di Sri Gaya pada Rabu bagi menyampaikan takziah serta simpati mendalam terhadap kejadian yang berlaku.
Menurut Hajiji, beliau telah mengarahkan Menteri Tugas-Tugas Khas yang memegang portfolio pendidikan Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawang, Datuk Seri Ghulamhaidar Khan Bahadar menziarahi Zara Qairina ketika mangsa masih dirawat di hospital sebagai bukti kerajaan negeri mengambil berat isu tersebut.
"Bagi pihak kerajaan negeri, kami amat bersimpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarhamah Zara Qairina.
"Kami mendoakan agar mereka diberi kekuatan menghadapi dugaan berat ini,” kata Hajiji.
Pertemuan itu turut dihadiri isterinya, Datuk Juliah Salag bersama anggota Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Sabah (Mutiara GRS).
Juliah berkata, beliau amat memahami perasaan seorang ibu yang kehilangan anak tersayang.
"Keselamatan anak-anak, khususnya pelajar asrama mesti diutamakan agar tragedi seperti ini tidak berulang," katanya.
Zara Qairina, 13, ditemukan tidak sedarkan diri selepas dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah di Papar pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).
Kematian pelajar Tingkatan Satu itu mendapat perhatian meluas termasuk di media sosial apabila ia dikaitkan dengan dakwaan kejadian buli di sekolah berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
