Treler sarat bawa 45 tan beras disita

GERIK - Cubaan sebuah treler membawa muatan 45 tan beras tanpa dokumen sah gagal selepas ditahan dalam serbuan Op Pintas 2.0 di Lebuhraya Timur–Barat, di sini pada awal pagi Rabu.
Serbuan kira-kira jam 1.30 pagi itu adalah hasil kerjasama pasukan Kawalselia Padi dan Beras Negeri Perak dengan Unit E5 Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.
Pengarah Kawalselia Padi dan Beras Perak, Nurul Zhahirah Nahrawi berkata, pemeriksaan dilakukan di kawasan berhampiran sebuah stesen minyak di lebuh raya berkenaan sebelum mendapati pemandu gagal mengemukakan dokumen sah bagi muatan yang dibawa.
“Mengesyaki berlaku pelanggaran di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522), pasukan penguat kuasa bertindak membuat sitaan terhadap treler terbabit bersama muatan beras seberat 45 tan.
“Nilai keseluruhan sitaan dianggarkan berjumlah RM267,000,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambahnya, jika sabit kesalahan, pemandu berkenaan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM25,000 atau penjara maksimum dua tahun.
Katanya, pasukan dan anggota Kawalselia Padi dan Beras akan terus mempergiatkan operasi serta pemantauan dari semasa ke semasa.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang melanggar undang-undang berkaitan padi dan beras,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

