Aksi ‘Superman’ dirakam, polis buru penunggang motosikal berbahaya di Lebuhraya Utara-Selatan

Tangkap layar video tular menunjukkan sekumpulan penunggang melakukan aksi ‘Superman’ ketika menunggang di lorong lebuh raya yang sibuk.
Tangkap layar video tular menunjukkan sekumpulan penunggang melakukan aksi ‘Superman’ ketika menunggang di lorong lebuh raya yang sibuk.
A
A
A

TAPAH – Polis sedang mengesan beberapa penunggang motosikal yang menunggang secara berbahaya di Kilometer (KM) 354.1 hingga KM 354.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan selepas rakaman video memaparkan aksi tersebut tular di media sosial.

Video berdurasi 14 saat yang dimuat naik di laman Facebook itu menunjukkan sekumpulan penunggang melakukan aksi ‘Superman’ ketika menunggang di lorong lebuh raya yang sibuk.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah, Deputi Superintenden Mohd Fadzil Ismail berkata, perbuatan tersebut bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.

"Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah sentiasa memantau aktiviti sebegini dan akan mengesan individu yang terlibat. Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ujarnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Tapah, Sarjan Sadri Omar di talian 05-4011222.

Mohd Fadzil turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu dan menunggang secara berhemah serta mengamalkan sikap bersabar di jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

 

 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!