Penunggang motosikal maut rempuh SUV masuk simpang

SETIU - Seorang lelaki maut apabila motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (SUV) di Kilometer 64, Jalan Pantai Kuala Terengganu-Kampung Raja, berhampiran Kampung Nyatoh di sini pada Jumaat.
Dalam nahas kira-kira jam 3.15 petang itu, mangsa, Mohamad Safuwan Adnan, 35, dari Kampung Fikri di sini, mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu pada awal pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan jenis Proton X50 yang dipandu seorang pembantu jurutera berusia 37 tahun dari Selangor sedang membelok ke kiri menuju ke sebuah simpang, sebelum dilanggar oleh motosikal Yamaha Ego yang datang dari arah belakang.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu SUV itu telah membelok ke kiri untuk masuk ke simpang kiri, namun motosikal tersebut yang datang dari arah belakang terlanggar bahagian sisi hadapan sebelah kiri SUV tersebut.
“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal tercampak dan mengalami kecederaan parah di bahagian dada. Mangsa disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital awal pagi tadi,” katanya di sini pada Sabtu.
Tambah beliau, pemandu dan tiga penumpang Proton X50 tidak mengalami sebarang kecederaan dalam nahas tersebut.
"Pegawai Perubatan, Dr Ahmad Faisol Harun@Ismail mengesahkan punca kematian mangsa adalah Chest Injury due to Road Traffic Crash.
"Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
