Kereta pemandu e-hailing dilarikan penumpang di Seremban ditemui Petaling Jaya

SEREMBAN - Sebuah kereta jenis Toyota Vios milik pemandu e-hailing yang dilaporkan dilarikan penumpang dalam satu kejadian awal pagi Rabu lalu berjaya dikesan semula oleh polis.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kejadian berlaku sekitar jam 3 pagi ketika pemandu lelaki berusia 61 tahun mengambil seorang penumpang dari Taman Bukit Jed, Seremban untuk dihantar ke Sri Subang, Selangor.
“Mangsa singgah di sebuah stesen minyak di Ainsdale untuk mengisi minyak dan meninggalkan enjin kereta dalam keadaan hidup kerana penumpang masih berada dalam kenderaan.
“Namun sebaik keluar dari tandas, kereta tersebut didapati telah hilang dan dipercayai dilarikan penumpang,” katanya.
Katanya, susulan laporan yang diterima, polis berjaya mengesan kenderaan berkenaan menggunakan Sistem Kedudukan Global (GPS) dan menahan suspek lelaki berusia 22 tahun di kawasan Sungai Way, Petaling Jaya, Selangor pada jam 12 tengah hari keesokan harinya.
“Ujian air kencing ke atas suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.
“Semakan juga menunjukkan suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan kes khianat dan pecah rumah di Seremban serta satu kes curi kenderaan di Selangor,” tambah beliau.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

