'Kerajaan PN buat dasar jangan jadi seperti PH'

Noh memuat naik status di Facebook peribadinya hari ini. Gambar kiri: Noh Omar
Noh memuat naik status di Facebook peribadinya hari ini. Gambar kiri: Noh Omar
A
A
A

TANJONG KARANG - Kerajaan Perikatan Nasional (PN) diingatkan tidak menjadi seperti kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam membuat sebarang dasar terutama dalam keadaan negara dilanda penularan wabak Covid-19.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, dasar dibuat kerajaan bagi menangani masalah kesihatan awam misalnya baik untuk rakyat, tetapi dari segi perlaksanaan tidak dilaksanakan secara menyeluruh hingga mengelirukan rakyat.

Malah, katanya, kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga sepatutnya diperincikan menteri melalui kementerian berkaitan.

"(Di) mana semua menteri yang sepatutnya memberi kenyataan jelas berdasarkan bidang kementerian masing-masing," katanya yang memuat naik status di Facebook beliau hari ini.

Noh yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, terdapat juga kementerian yang mengeluarkan kenyataan tidak meyakinkan sehingga menimbulkan keresahan dan situasi panik kepada rakyat.

"Sebagai contoh (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) KPDNHEP meyakinkan barang mencukupi tetapi berdasarkan tinjauan saya baru-baru ini (mendapati) rak di pasar raya dah mula kosong hingga menimbulkan panik kepada orang ramai.

"Begitu juga nasib pelajar yang terpaksa mengosongkan kediaman kolej dalam masa yang sangat singkat sehingga menimbulkan kegusaran dan masalah berpusu-pusu di terminal bas untuk pulang ke rumah masing masing," katanya.

Noh berkata, begitu juga dengan arahan untuk orang ramai mendapatkan surat perlepasan untuk keluar ke negeri yang pada mulanya disifatkan baik, namun terpaksa ditarik balik apabila mendapati orang ramai berpusu-pusu untuk mengisi dokumen di balai polis di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

"Akhirnya dasar kerajaan untuk melarang himpunan beramai-ramai tidak mencapai objektif untuk mengawal penyebaran (Covid-19), tetapi sebaliknya memaksa rakyat untuk berhimpun dan meningkatkan risiko berjangkit," katanya.