Kerajaan teliti secara dasar sistem gaji progresif - Rafizi

Rafizi
Rafizi
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan sedang meneliti secara dasar sistem gaji progresif di Malaysia serta proses perbincangan dan libat urus mengenainya telah pun bermula dengan pelbagai sektor, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Katanya, ini sebahagian daripada dasar yang sedang dikaji Kementerian Ekonomi dan ia selaras dengan sasaran Rancangan Malaysia ke-12 supaya nisbah hasil ekonomi yang diberi kepada pekerja dalam bentuk gaji dan pampasan meningkat daripada paras semasa iaitu sekitar 36 peratus kepada 40 peratus.

"Kita akan bawa perbincangan ini dalam forum kerajaan yang sewajarnya dalam masa yang ditetapkan nanti,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis perasmian UK-Malaysia Clean Growth Handbook di sini pada Selasa.

Beliau berkata, kerajaan ingin memastikan kerangka dasar itu lebih mampan dan dapat dilaksanakan secara positif oleh semua pihak serta manfaatnya bukan hanya kepada pekerja tetapi juga kepada majikan.

"Cuma perkara ini perlu difikirkan dan dibincangkan secara menyeluruh bukan sahaja di peringkat dasar kerana kita perlu mengimbangi kehendak kerajaan dan ekonomi supaya gaji itu naik secara berkala dengan kemampuan syarikat supaya tidak memberi kesan negatif kepada mereka," katanya.

Katanya, dasar untuk gaji progresif adalah perkara yang sedang dipandang serius oleh kerajaan dan ia akan dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Sumber Manusia.

Mengenai pengumuman pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama yang akan datang, Rafizi berkata, kerajaan positif dan optimis mengenainya.

"Kami berharap dalam tempoh satu atau dua tahun ini, kami dapat mengembalikan ekonomi negara kepada landasan yang seimbang selain mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan," katanya.

Dalam menangani perubahan iklim, katanya, kerajaan di seluruh dunia perlu menerima hakikat bahawa sains mengenai perubahan iklim adalah jelas dan perlu segera bertindak serta kelestarian alam sekitar bukan lagi semata-mata kebaikan sosial tetapi kepentingan ekonomi untuk dunia.

"Ini amat penting bagi negara membangun seperti Malaysia berikutan kita akan kehilangan produktiviti, pendapatan, pengeluaran, pekerjaan dan kesihatan jika kita tidak bertindak secara bersepadu untuk membendung kesan perubahan iklim," katanya.

Sementara itu, Rafizi berkata, UK-Malaysia Clean Growth Handbook adalah tepat pada masanya kerana Malaysia menyediakan pendekatan pelbagai sektor untuk meningkatkan pertumbuhan dengan idea dan strategi baharu yang sedia untuk dilaksanakan oleh sektor swasta.

Pesuruhjaya Tinggi British Ke Malaysia, Charles Hay menyatakan keyakinan bahawa kedua-dua negara akan menyaksikan lebih banyak pelaburan dan kerjasama dalam tenaga boleh baharu pada masa depan.

"Saya berharap buku panduan ini akan menjadi panduan yang praktikal untuk memacu perubahan yang positif, mempengaruhi dan menekankan kepada agenda penting pertumbuhan bersih dan mampan," katanya. - Bernama