Hampir 2,000 orang awam serbu balai polis di Kuantan

Hampir 2,000 orang awam menyerbu balai-balai polis daerah Kuantan malam tadi bagi mengisi borang kebenaran rentas negeri. Gambar kecil: Abd Jalil
Hampir 2,000 orang awam menyerbu balai-balai polis daerah Kuantan malam tadi bagi mengisi borang kebenaran rentas negeri. Gambar kecil: Abd Jalil
A
A
A

KUANTAN - Hampir 2,000 orang awam menyerbu balai-balai polis daerah Kuantan malam tadi bagi mengisi borang kebenaran rentas negeri.

Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan berkata, ia susulan arahan larangan keluar antara negeri yang diumumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sebelum ia ditarik balik.

"Tindakan orang ramai hadir mengisi borang itu boleh dipuji kerana mereka mematuhi arahan pihak berkuasa, namun dengan jumlah yang hadir terlalu ramai, ia juga tidak sesuai.

"Bagi saya bagus sebab mereka nak lapor dan isi borang tetapi ia menampakkan masyarakat panik. Daripada nak elak berkumpul mereka jadi berkumpul di balai-balai pula," katanya.

Menurutnya, polis memulakan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan hari ini dengan mendidik masyarakat untuk mematuhi arahan berkenaan.

"Jika keingkaran berterusan dan nampak muka yang sama asyik keluar akan dikenakan tindakan undang-undang. Untuk hari ini kita faham mungkin ada yang tidak faham tapi kalau degil terpaksa kita ambil tindakan.

"PDRM gunakan kaedah mendidik dan menasihat terlebih dahulu (amaran mesra) kepada orang ramai untuk mematuhi" katanya.

Abd Jalil berkata, masyarakat juga tidak digalakkan berkunjung ke pusat rekreasi kecuali penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) yang perlu menjalankan tugasan seperti biasa.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang turut ditubuhkan jawatankuasa bagi memantau harga barang.

"Setakat ini belum ada laporan kenaikan harga dan belum ada pembelian panik.

"Bekalan makanan terjamin dan jawatankuasa ini sudah bergerak sejak minggu lepas bagi membuat 'engagement' dengan peniaga," katanya.