Kematian Pelatih Palapes: UTM jamin beri kerjasama penuh

JOHOR BAHRU- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memberi jaminan akan memberikan kerjasama kepada keluarga dan pihak berkuasa dalam siasatan punca kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) UTM Skudai, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, UTM menegaskan jaminan itu diberikan bagi membolehkan siasatan dapat dijalankan secara berhemah telus dan adil.
"Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir telah menziarahi keluarga Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin di kediaman mereka di Semenyih, Selangor kira-kira 1 tengah hari pada Isnin.
"Pihak pengurusan tertinggi UTM turut mengiringi lawatan Menteri Pendidikan Tinggi. Ziarah ini diadakan bagi menyampaikan ucapan takziah serta sumbangan dari Yayasan Perkasa Siswa, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
"UTM turut menzahirkan komitmen untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak keluarga dan pihak berkuasa agar siasatan dapat dijalankan secara berhemah, telus dan adil," katanya.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan ibu mangsa, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, menuntut kubur anaknya itu digali semula bagi melakukan bedah siasat kali kedua.
Menurutnya, tuntutan itu dibuat kerana tidak yakin punca kematian anak sulung daripada tiga beradik itu disebabkan sawan seperti dimaklumkan pihak terbabit.
Dakwanya, kematian anaknya itu diyakini akibat dipukul dan didera sehingga meninggal dunia ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Darat (Pulada), Ulu Tiram, Johor, pada 28 Julai lalu.
Ummu Haiman Bee memaklumkan sudah melantik peguam dan memberitahu Menteri Pengajian Tinggi mengenai perkara itu selain dimaklumkan satu jawatankuasa khas ditubuhkan untuk menyiasat kes berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, hingga kini beliau belum menerima sebarang perkembangan hasil siasatan.
Ujarnya lagi, Allahyarham Syamsul Haris yang mengambil jurusan Sains Komputer (Keselamatan Siber) di UTM Skudai, Johor menjadi harapan keluarga selepas kematian bapanya pada Disember lalu.
Pada 1 Ogos lalu, PDRM dilaporkan akan menjalankan siasatan terperinci punca kematian seorang pelatih Palapes UTM Skudai, semasa menjalani latihan di Pulada, pada 28 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Yusof Othman dilaporkan berkata siasatan menyeluruh termasuk merakam percakapan saksi-saksi dan pegawai perubatan yang terlibat bagi mengenal pasti punca sebenar insiden berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

