Malaysia #QuranHour 2025 bawa semangat hijrah, transformasi

Malaysia #QuranHour 2025 kembali untuk tahun ke-11 penganjurannya pada 30 Ogos ini dengan tema istimewa 'Merdeka Dengan Rasa'. Gambar kecil: Marhaini
Malaysia #QuranHour 2025 kembali untuk tahun ke-11 penganjurannya pada 30 Ogos ini dengan tema istimewa 'Merdeka Dengan Rasa'. Gambar kecil: Marhaini
A
A
A

SHAH ALAM – Malaysia #QuranHour 2025 kembali untuk tahun ke-11 penganjurannya pada 30 Ogos ini, sehari sebelum sambutan Hari Kebangsaan ke-68, dengan tema istimewa 'Merdeka Dengan Rasa'.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, pemilihan tarikh kali ini bertepatan dengan 6 Rabiulawal 1447H, iaitu bulan kelahiran Rasulullah SAW, yang membawa semangat hijrah dan transformasi dalam konteks kemerdekaan.

"Bila kita bercakap tentang kemerdekaan, kita juga bercakap tentang transformasi yang boleh dilakukan untuk negara. Tahun ini lebih istimewa kerana Malaysia #QuranHour diterima di bawah agenda sambutan Hari Kebangsaan oleh Kementerian Komunikasi, sekali gus menjadi sebahagian daripada acara rasmi kerajaan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Malaysia #QuranHour tahun ini akan berlangsung pada 30 Ogos dari jam 12 tengah hari hingga 1 petang di lokasi perdana yang akan dimaklumkan kelak dan turut dilaksanakan serentak di seluruh negara.

Sebagai penyiar utama, Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan program itu secara langsung bersama sinergi media lain seperti Astro Awani, Astro Oasis, TV AlHijrah, TV9, Bernama, Sinar Harian, Media Prima, IKIM FM, Zayan FM, TV IKIM, Denaihati Network, Nu Ideaktiv, dan Santai Travel.

Tambah Marhaini, tema 'Malaysia Madani, Rakyat Disantuni' yang dibawa selari dengan mesej Surah Al-Saff khususnya ayat 14, yang menyeru umat untuk menjadi pembantu agama ALLAH.

Ujarnya, empat golongan yang perlu disantuni seperti yang digariskan dalam Surah Al-Balad turut diberi perhatian iaitu membantu golongan tertindas, memberi makan kepada yang memerlukan, memberi sokongan moral dan fizikal terhadap anak yatim, serta membantu fakir miskin.

"Dalam konteks semasa, ini termasuk membantu mangsa buli, orang berhutang, mangsa keganasan fizikal dan lain-lain. Semua ini adalah nilai kemerdekaan yang sebenar, apabila kita selamat daripada azab neraka, diampunkan dosa, masuk syurga, mendapat pertolongan ALLAH dan kemenangan di dunia," ujarnya.

Jelas Marhaini lagi, 'Merdeka Dengan Rasa' bermaksud menghidupkan rasa empati dalam diri setiap pemimpin, pembina dasar, penjawat awam, dan rakyat untuk memahami dan bertindak terhadap isu yang dihadapi masyarakat.

Artikel Berkaitan:

"Kisah dalam Surah Al-Saff ayat 14 dan Surah Ali Imran ayat 52 menunjukkan rasa empati Nabi Isa yang mendorong tindakan. Begitu juga dalam isu buli yang kita lihat sekarang, rakyat bangkit kerana mereka merasakan keperitan mangsa. Inilah semangat yang ingin kita bawa," tambahnya.

Beliau turut menyeru rakyat Malaysia di dalam dan luar negara untuk menyertai Malaysia #QuranHour, menjadikan negara ini sebagai contoh teladan kepada negara jiran seperti Singapura, Thailand, Indonesia serta kedutaan asing di Malaysia.

Ujarnya, dengan pelaksanaan pada hari Sabtu dan cuti hujung minggu panjang, WUIF mengharapkan penyertaan ramai daripada semua lapisan masyarakat di lokasi perdana.

"Kita mahu semua keluarga, tanpa mengira latar belakang, hadir dan bersama menggemakan mesej 'Merdeka Dengan Rasa' agar kita menjadi warga Malaysia yang benar-benar merdeka di mata dunia dan di sisi ALLAH," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!