AMK Pulau Pinang tolak cubaan politikkan kes Zara Qairina

Muhammad Zakwan (tengah) bersama kepimpinan AMK Pulau Pinang menolak sebarang cubaan mempolitikkan kes kematian pelajar Zara Qairina Mahathir.
Muhammad Zakwan (tengah) bersama kepimpinan AMK Pulau Pinang menolak sebarang cubaan mempolitikkan kes kematian pelajar Zara Qairina Mahathir.
A
A
A

GEORGE TOWN - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang menolak sebarang cubaan mempolitikkan kes kematian pelajar Zara Qairina Mahathir.

Ketuanya, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal berkata, nyawa manusia bukan bahan dagangan politik dan sebarang usaha untuk meraih keuntungan politik daripada tragedi ini adalah tindakan yang tidak bermoral.

Menurutnya, kepercayaan penuh wajar diberikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan secara telus, menyeluruh dan adil sehingga keadilan dapat ditegakkan.

"Ini kerana Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai undang-undang dan tiada sesiapa akan dilindungi daripada tindakan sekiranya terbukti bersalah tanpa mengira pangkat, darjat atau kedudukan.

"Justeru kami menolak sekeras-kerasnya sebarang cubaan mempolitikkan tragedi tersebut kerana nyawa manusia bukan bahan dagangan politik," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Muhammad Zakwan berkata, AMK Pulau Pinang turut menyampaikan takziah kepada keluarga mangsa, selain menyokong kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkaitan kes berkenaan.

"Kami (AMK Pulau Pinang) berdiri teguh bersama keluarga mangsa serta rakyat Malaysia yang mendambakan keadilan, selain mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang beriman,” katanya.

Pada Isnin Sinar Harian melaporkan, pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah dihantar ke Kontinjen Sabah bagi mengambil alih siasatan kes melibatkan Allahyarhamah Zara Qairina.

Pejabat Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) dalam kenyataan berkata, penghantaran pasukan task force terdiri daripada sembilan anggota dan pegawai itu adalah komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan siasatan dilaksanakan secara telus dan menyeluruh.

Artikel Berkaitan:

"PDRM memandang serius setiap kes yang melibatkan kehilangan nyawa.

"Sehubungan itu, PDRM menyeru agar semua pihak memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan profesional, serta mengelakkan daripada membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Zara Qairina ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah agama tempatnya belajar pada pagi 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital keesokannya.

Kematian pelajar Tingkatan Satu itu mencetuskan perhatian meluas susulan dakwaan berlaku insiden buli membabitkan pelajar senior di sekolah berkenaan.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!