Kes Zara Qairina: Peguam buat permohonan empat perkara terhadap AGC

KOTA KINABALU - Pasukan peguam mewakili Noraidah Lamat, 45, ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, menyifatkan pengambilalihan siasatan kematian pelajar Tingkatan Satu itu oleh Pasukan Khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sebagai satu perkembangan positif untuk merungkai kes tersebut.
Dalam kenyataan bersama Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan dan Mohd Luqman Syazwan Zabidi berkata, langkah itu selaras dengan permohonan kepada Jabatan Peguam Negara yang dibuat pada 5 Ogos lalu.
"Pengambilalihan siasatan kematian Zara Qairina oleh Pasukan Task Force dari JSJ Bukit Aman semalam adalah selaras dengan salah satu daripada empat perkara yang kami mohon daripada Jabatan Peguam Negara dalam surat kami.
"Empat perkara tersebut ialah kertas siasatan dikembalikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan siasatan dibuka semula, proses siasatan dilakukan oleh pegawai penyiasat berpengalaman dari Bukit Aman, kubur digali semula agar satu bedah siasat dilakukan bagi menentukan punca sebenar kematian, dan satu inkues diadakan untuk menentukan sama ada wujud unsur jenayah dalam kematian Zara Qairina.
"Perkembangan positif ini diharap dapat merungkai isu kematian Zara dan seterusnya membuktikan bahawa wujud unsur jenayah yang telah menyebabkan kematian tersebut," kata kenyataan tersebut pada Selasa.
Sebelum itu, dalam kenyataan Pejabat Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) memaklumkan penghantaran pasukan yang terdiri daripada sembilan anggota dan pegawai itu adalah komitmen PDRM untuk memastikan siasatan dilaksanakan secara telus dan menyeluruh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
