Kami menahan diri keluar kenyataan bedah siasat Zara Qairina – Peguam

KOTA KINABALU - Pasukan peguam mewakili Noraidah Lamat, 45, ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, menegaskan mereka akan menahan diri daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan laporan bedah siasat bagi mengelakkan percanggahan maklumat sebelum laporan rasmi dikeluarkan pihak hospital.
Dalam kenyataan bersama, peguam Shahlan Jufri dan Mohd Luqman Syazwan Zabidi berkata, seperti dimaklumkan pada sidang media pada Ahad lalu terdapat kecederaan yang ditemui pada tubuh Zara Qairina semasa proses bedah siasat.
"Demi mengelakkan berlaku percanggahan di antara laporan lisan bedah siasat yang dimaklumkan kepada kami dan ibu Zara Qairina selepas tamatnya bedah siasat pada Ahad lalu dengan laporan rasmi bedah siasat yang akan dikeluarkan oleh pihak hospital, kami menahan diri dari mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan laporan bedah siasat itu," katanya pada Isnin.
Dalam kenyataan sama, mereka turut mengucapkan penghargaan kepada Jabatan Peguam Negara yang mengarahkan polis membuat permohonan menggali semula kubur Zara Qairina sebelum menjalankan proses bedah siasat, selain berterima kasih kepada pihak polis yang mengawal rapi sepanjang proses itu.
Mereka juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk pengamal media yang berada di tanah perkuburan dan persekitaran Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) bagi menyaksikan sepanjang proses berkenaan.
"Kami juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua individu termasuk wartawan-wartawan media yang berada di tanah perkuburan dan persekitaran HQEI dari pagi hingga ke malam bagi menyaksikan proses penggalian kubur, pengkebumian jenazah dan bedah siasat. Sokongan anda semua amat kami hargai," kata kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
