Undi sulit hanya selepas usul diterima Speaker – Penganalisis

PUTRAJAYA – Cadangan supaya undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri diadakan secara sulit hanya boleh dipertimbang selepas usul berkenaan diterima Speaker Dewan Rakyat.
Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, mengikut prosedur Parlimen, mana-mana usul sama ada daripada pihak kerajaan atau pembangkang perlu difailkan dan mendapat kelulusan Speaker sebelum dibahaskan.
“Langkah pertama, failkanlah dahulu usul supaya ia boleh disempurnakan melalui proses atau prosedur yang dinyatakan dalam Peraturan Dewan," katanya kepada Sinar Harian.
Apa yang penting jelas beliau, usul tersebut kemudiannya diluluskan Speaker.
“Selepas itu, nak sulit atau tak sulit, bawalah kepada Speaker. Sulit atau tidak itu cuma cara mengundi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang mencabar kerajaan membenarkan pembangkang membawa usul undi tidak percaya secara sulit.
Shamrahayu menjelaskan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai peranan dari sudut perundangan untuk membenarkan atau menolak sesuatu usul, sebaliknya perkara itu tertakluk sepenuhnya kepada budi bicara Speaker.
“Kalau betul-betul ada, buktikan dengan memfailkan usul itu. Perdana Menteri tak ada apa-apa peranan untuk benarkan atau tidak benarkan.
“Dari segi politik, beliau boleh buat apa sahaja, tetapi undang-undang mesti dipenuhi,” katanya.
Mengulas kesan kepada demokrasi, Shamrahayu menjelaskan bahawa undi tidak percaya adalah sebahagian daripada amalan demokrasi berparlimen yang diiktiraf, selagi ia dilaksanakan mengikut peraturan yang ditetapkan.
Beliau memberi contoh situasi di Perak pada tahun 2020 apabila Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu membawa usul undi percaya tetapi gagal memperoleh sokongan majoriti, sekali gus bertukar menjadi undi tidak percaya.
Katanya, Tun Dr Mahathir Mohamad pula pernah kehilangan sokongan majoriti bukan melalui undi di Dewan Rakyat, menunjukkan bahawa kejatuhan keyakinan terhadap pemimpin boleh berlaku di luar Parlimen.
“Kalau mengikut amalan demokrasi, bolehlah dibawa ke hadapan,” jelasnya.
Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, soal sama ada pembangkang akan membawa usul tidak percaya terhadap Anwar atau sebaliknya bergantung kepada keputusan Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

