Ahli Parlimen bebas bawa usul undi tidak percaya - Johari

SHAH ALAM - Tiada halangan kepada mana-mana Ahli Parlimen untuk membawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ia selaras dengan amalan demokrasi negara.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan, Dewan Rakyat adalah tempat sah untuk mana-mana usul dikemukakan, namun yang lebih utama ialah sokongan majoriti Ahli Parlimen terhadap usul tersebut.
“Dalam Parlimen ini, sesiapa sahaja boleh bawa usul. Tiada siapa boleh larang. Kalau dibawa, bagus. Tapi masa itu nanti kita tengoklah siapa yang ada sokongan dan siapa yang tiada. Ahli Parlimen yang akan tentukan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa dan Naib Presiden UMNO.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Shah Alam yang turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shari di Bangunan Kumpulan Muara, di sini pada Ahad.
Ditanya sama ada Barisan Nasional (BN) bersedia sekiranya pilihan raya umum (PRU) diadakan lebih awal susulan tekanan terhadap Perdana Menteri, Johari menjelaskan parti itu masih dalam fasa pengukuhan.
“BN ini masih dalam proses pemantapan. Kalau kita kata kita sudah bersedia, nanti orang kata kita yang mahu PRU awal. Sebenarnya banyak perkara yang kita hendak lakukan. Masih ada dua tahun atau dua tahun setengah lagi.
“Kalau kita cakap kita boleh buat sekarang, nanti timbul pula persoalan bolehkah kita laksanakan semua itu. Jadi, ia perlukan masa,” ujarnya.
Pada 21 Julai lalu, Perdana Menteri menyatakan kesediaannya berdepan usul undi tidak percaya sekiranya ia dibawa oleh pembangkang ke Dewan Rakyat.
Menurut Anwar, beliau telah memaklumkan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul agar memberi ruang kepada usul tersebut sekiranya dikemukakan.
Anwar turut menegaskan bahawa sebarang cubaan menjatuhkan kerajaan di luar kerangka perlembagaan adalah tidak sah dan boleh mengancam kestabilan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

