Dua sepupu terima padah

Dua pemuda yang juga sepupu ini dijel lima bulan selepas mengaku salah mencuri 30 guni makanan lembu milik bapa saudara mereka.
Dua pemuda yang juga sepupu ini dijel lima bulan selepas mengaku salah mencuri 30 guni makanan lembu milik bapa saudara mereka.
A
A
A

KUALA TERENGGANU- Dua sepupu dijatuhi lima bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana mencuri 30 guni makanan lembu milik bapa saudara mereka.

Keputusan dibuat selepas Muhammad Zulhilmi Sidek, 19, dan Muhammad Amirul Aiman Che Mazlan, 24, dari Kampung Kebor Air, Manir, di sini, mengaku salah atas tiga pertuduhan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri di dalam bangunan.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa mencuri lima guni makanan lembu di dalam stor simpanan makanan haiwan milik Mohd Zulmaida Ismail, 38, di Kampung Beladau Kolam, Manir, di sini, kira-kira jam 9.30 malam, pada 5 Januari lalu.

Mereka didakwa mengulangi jenayah sama dengan mencuri enam lagi guni makanan lembu di tempat sama iaitu kira-kira jam 9.30 malam, pada 7 Januari lalu.

Bagi pertuduhan ketiga pula, mereka didakwa melakukan perbuatan sama dengan mencuri sembilan guni makanan lembu yang disimpan di lokasi sama, kira-kira jam 10.45 malam, pada 8 Januari lalu.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda dan hukuman penjara sehingga 10 tahun.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan L Rathna di hadapan Majistert Noradila Ab Latif.

Sejurus pengakuan salah bagi ketiga-tiga pertuduhan direkodkan, mahkamah menjatuhkan hukuman lima bulan penjara untuk setiap pertuduhan dan diarahkan berjalan secara serentak.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan fakta kes, pengadu, seorang peniaga makanan haiwan di Jalan Pasar Baru, Kampung Kedai Manir, di sini, dan mempunyai stor simpanan barang niaga di Kampung Beladau Kolam, Manir, di sini.

Pengadu mengambil salah seorang daripada pemuda itu bekerja bagi menjaga keselamatan stor simpanannya kerana tidak sempat menguruskan seorang diri.

Bagaimanapun, kira-kira jam 11 malam, pada 8 Januari lalu, pengadu ada menerima maklumat daripada pelanggan tetapnya yang tinggal di Kampung Telari, Manir, ternampak kedua-dua anak saudaranya itu memikul makanan haiwan di dalam guni sebelum menjual kepada jiran dan pelanggan di sekitar kampung berkenaan.

Tidak berpuas hati, pada 11.30 malam hari sama, pengadu melakukan pemeriksaan ke atas stok barang niaga yang disimpan di dalam stor itu sebelum mendapati 30 guni makanan lembu hilang.

Akibat itu, pengadu terpaksa menanggung kerugian lebih kurang RM1,350 sebelum mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Dua hari selepas laporan dibuat iaitu pada 10 Januari lalu, kedua-duanya berjaya ditangkap di rumah masing-masing iaitu kira-kira jam 1.30 pagi.