Trauma lihat bapa saudara diterkam harimau

Timbalan Ketua Polis Gua Musang, DSP Azmi Mokhtar (kiri) memberi taklimat kepada pasukan penyelamat yang menyertai operasi SAR seorang lelaki Orang Asli yang dilaporkan hilang ketika memancing bersama anak saudaranya, Alang Kuang berusia lapan tahun di Kampung Aring 5, hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Ketua Polis Gua Musang, DSP Azmi Mokhtar (kiri) memberi taklimat kepada pasukan penyelamat yang menyertai operasi SAR seorang lelaki Orang Asli yang dilaporkan hilang ketika memancing bersama anak saudaranya, Alang Kuang berusia lapan tahun di Kampung Aring 5, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

GUA MUSANG - Seorang kanak-kanak Orang Asli mendakwa ternampak bapa saudaranya diterkam oleh harimau di bahagian kepala dan dia masih trauma dengan kejadian berkenaan.

Alang Kuang, 8, merupakan satu-satunya saksi kejadian kehilangan bapa saudaranya, Halim Asin, 27, di Hulu Sungai Aring, kelmarin.

"Saya berlari dan terjun ke sungai sebelum berenang dalam ketakutan menuju ke lokasi ahli keluarga yang lain sejauh 500 meter untuk meminta tolong selamatkan pakcik (Halim).

"Saya beritahu datuk yang pak cik diserang harimau dan saya sangat takut,” katanya yang berbicara dalam bahasa Bateq, di rumahnya di Kampung Aring 5 di sini hari ini.

Sejurus mendengar berita tersebut, Datuknya Asin Parang, 68, berkata, dia bergegas ke tempat kejadian selepas Alang berlari mendapatkannya dalam keadaan menangis dan menceritakan peristiwa tersebut.

Asin berkata, sebaik sampai di lokasi kejadian, mereka tidak menemui Halim.

"Seramai tujuh orang menaiki rakit menuju ke Kampung Aring 5 kerana takut haiwan terbabit muncul semula, tetapi kami hampa tidak menemui Halim," katanya.

Bercerita lanjut, Asin melahirkan rasa terkilan kerana mangsa tidak sempat menjamah hasil memancingnya berupa seekor ikan sebarau sebelum kejadian.

"Saya harap Halim dapat ditemukan secepat mungkin walaupun saya tidak dapat turut serta mencarinya kerana masih sakit kaki. Hanya menantu, Kuang Camang, 31, yang mengikuti operasi.

"Saya juga harap harimau yang menyerang Halim dapat ditangkap dengan segera," katanya.

Terdahulu media melaporkan Halim Asin, 27, dikhuatiri menjadi mangsa serangan harimau ketika memancing bersama anak saudaranya Alang di Sungai Aring 5, dua hari lepas. - Bernama