JKNK keluarkan 8,369 notis kesalahan rokok, nilai hampir RM2 juta

KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengeluarkan 8,369 notis bernilai hampir RM2 juta membabitkan kesalahan berkaitan rokok dalam tempoh Oktober tahun lalu hingga Julai tahun ini.
Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, usaha itu dilaksanakan susulan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852].
Menurutnya, kesalahan paling banyak dikesan ialah merokok di kawasan larangan iaitu 7,219 kes, diikuti gagal mempamer tanda amaran larangan merokok sebanyak 658 kes.
“Jabatan ini turut merekodkan 453 kes remaja yang dikompaun kerana merokok.
“Pemilik premis yang menyediakan kelengkapan atau kemudahan merokok pula membabitkan 24 kes, manakala dua kes melibatkan iklan produk rokok,” katanya.
Beliau berkata demikian melalui kenyataan sempena Majlis Pelancaran Operasi Selamat Paru-Paru (Ops Selamat PaPa) Peringkat Negeri Kelantan pada Isnin.
Pada majlis yang dirasmikan oleh Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, Hilmi Abdullah itu, Dr. Zaini diwakili Timbalannya, Dr. Ahmad Faris Awang.
Beliau memaklumkan, jabatan itu sentiasa bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara, serta pihak berkuasa tempatan.
“JKNK tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran Akta 852 dan mahu masyarakat menjayakan Ops PaPa serta melaporkan kesalahan melalui aduan WhatsApp 010-8608949,” katanya.
Kementerian Kesihatan melalui Bahagian Kawalan Penyakit (Seksyen Kawalan Tembakau & FCTC) melaksanakan Ops Selamat PaPa bagi memperkukuh penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

