Hukuman lebih berat atasi penyalahgunaan Jalur Gemilang

PEKAN – Kerajaan disaran memperketatkan hukuman bagi kesalahan penyalahgunaan Jalur Gemilang khususnya isu pemasangan bendera secara terbalik yang berulang kali berlaku.
Ketua Pemuda UMNO Pekan, Fakhrul Akhmal Mohammed berkata, hukuman sedia ada di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) (Pindaan) 2017) seolah-olah tidak memberi kesan kepada segelintir individu sedangkan Jalur Gemilang adalah simbol kedaulatan negara.
"Nampaknya, denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya dalam Akta Lambang dan Nama jelas tidak menggerunkan.
"Jadi, perlu cari jalan untuk tambah jumlah denda dan tempoh penjara," katanya pada Isnin.
Beliau turut menegaskan, sudah tiba masanya semua parti politik rentas parti, bersatu hati menunjukkan solidari terhadap lambang pertiwi.
"Jika tiada usaha ke arah itu, anggap la segala riuh-rendah ini hanyalah sekadar hujan di pagi hari dan tiada locus standi," jelasnya.
Sebelum ini, Fakhrul Akhmal menyuarakan rasa kecewa terhadap insiden pemasangan Jalur Gemilang terbalik yang berulang kali dilakukan oleh kumpulan sama.
Fakhrul Akhmal menambah, golongan muda tertentu yang terlibat kurang peka dan tidak menunjukkan rasa cinta terhadap Jalur Gemilang, mungkin kerana tidak merasai langsung pengorbanan besar perjuangan terdahulu.
"Mereka agaknya tak berapa ada rasa sayang ke Jalur Gemilang, kurang sensitif bila maruah negara diterbalikkan.
"Maklumlah, bukan keluarga mereka yang dibunuh kejam masa zaman komunis dulu," luah beliau lagi.
Fakhrul Akhmal berkata, kelompok itu juga tidak belajar seperti mana orang Melayu Islam diajar mempertahan panji-panji.
"Kisah Musab ibnu ‘Umar RA dalam Perang Uhud & Ja’far ibnu Abi Thalib RA dalam Perang Mutah sudah cukup untuk mengajar kita betapa bendera bukan sekadar kibaran tapi bendera adalah kehormatan," katanya.
Terdahulu, tular video berdurasi 21 saat yang memaparkan seorang lelaki memasang Jalur Gemilang secara terbalik pada sebatang kayu atau besi panjang sebelum mengibarkannya, manakala seorang lagi merakam aksi tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

