Mengamuk nak Labubu, budak pecahkan siling kaca dan candelier RM238,000

Gambar yang dikongsikan Tail Broter.
Gambar yang dikongsikan Tail Broter.
A
A
A

BEIJING – Seorang kanak-kanak lelaki di China bertindak memecahkan siling kaca dan candelier kristal bernilai kira-kira 400,000 yuan (RM238,000) selepas berang kerana tidak dibenarkan memiliki mainan Labubu.

Kejadian itu didedahkan pempengaruh media sosial, Little Azheng atau 'Tail Brother' yang menceritakan insiden berlaku ketika seorang saudara datang melawat rumahnya bersama kanak-kanak terbabit.

Menurutnya, budak lelaki itu ternampak patung Labubu miliknya yang dihiasi barang kemas mahal lalu mengamuk dan menuntut mainan berkenaan.

Apabila permintaan ditolak, kanak-kanak itu membaling alat kawalan jauh ke udara mengakibatkan siling kaca bernilai 100,000 yuan (RM59,000) serta merosakkan candelier kristal Itali bernilai 300,000 yuan (RM178,000).

Kanak-kanak lelaki di China bertindak memecahkan siling kaca dan candelier kristal bernilai kira-kira 400,000 yuan (RM238,000).
Kanak-kanak lelaki di China bertindak memecahkan siling kaca dan candelier kristal bernilai kira-kira 400,000 yuan (RM238,000).

"Kerja pembaikan siling memerlukan semua panel kaca yang tinggal ditanggalkan dan diganti," katanya.

Gambar yang dimuat naik menunjukkan serpihan kaca bertaburan di lantai dan candelier pecah di ruang tamu.

Pempengaruh itu berkata, kanak-kanak berkenaan tidak menunjukkan rasa bersalah, malah ibu bapanya merayu agar kejadian tidak dihebahkan kerana bimbang menjejaskan emosi anak mereka.

Artikel Berkaitan:

"Kami miskin dan tidak mampu membayar pampasan. Tiada gunanya ke mahkamah, tolong jangan libatkan anak kami," kata mereka.

Pasangan itu hanya menawarkan pampasan 20,000 yuan (RM11,800) dibayar dalam dua kali ansuran, walaupun terpaksa 'menjual segala-galanya' untuk melunaskannya.

Pempengaruh berkenaan akhirnya menerima tawaran itu dengan berat hati sambil menyifatkan tindakan menggunakan hubungan kekeluargaan sebagai ugutan emosi sebagai sesuatu yang 'melampaui batas'. - AGENSI

habis//

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!