Kanak-kanak 12 tahun hilang selepas kenal lelaki menerusi TikTok

Adriana Batrisya dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah di Perumahan Kos Rendah Sungai Tong sejak petang Sabtu.
Adriana Batrisya dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah di Perumahan Kos Rendah Sungai Tong sejak petang Sabtu.
A
A
A

SETIU – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dilaporkan keluar dari rumah di Perumahan Kos Rendah Sungai Tong di sini sejak petang Sabtu dan sehingga kini masih belum pulang.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata, kejadian itu disedari bapa mangsa, Mohd Ridzuan Mat Yasim, 36, sekitar jam 5 petang pada 9 Ogos lalu sebelum membuat laporan polis keesokan harinya.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat diterima, kanak-kanak bernama Adriana Batrisya itu telah berhenti sekolah ketika berada di Tahun Empat di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 29 Sungai Tong di sini kerana mengalami masalah kesihatan.

Katanya, mangsa yang menghidap masalah sakit dalam perut hanya tinggal di rumah bersama ibu bapa dan seorang adik lelaki berusia lapan tahun.

"Sepanjang tidak bersekolah kanak- kanak ini hanya tinggal di rumah dan tidak mempunyai kawan rapat.

"Bagaimanapun, siasatan awal mendapati dia ada berkenalan dengan seorang lelaki melalui aplikasi TikTok yang dipercayai bukan penduduk setempat," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Mohd Zain berkata, mangsa yang hilang mempunyai ciri-ciri warna kulit kuning langsat, berbadan gempal, tinggi 140 cm, berat 58 kilogram dan rambut berwarna perang paras bahu.

Menurutnya, usaha mengesan mangsa giat dijalankan termasuk hebahan kehilangan kepada Pusat Kawalan Daerah (DCC) Setiu serta risikan terhadap individu yang dipercayai berkaitan.

"Kes disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu memandangkan mangsa adalah di bawah umur 18 tahun.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mangsa diminta menghubungi IPD Setiu di talian 09-6098222 atau Pegawai Penyiasat, Sarjan Rosman Che Nordin @ Ramli di talian 013-3392709," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!