MetMalaysia uji siren amaran tsunami di Seberang Takir

Siren amaran tsunami yang dipasang di Pusat Pembangunan Perikanan Seberang Takir, Kuala Nerus membolehkan penduduk menerima amaran lebih cepat sekiranya berlaku ancaman tsunami.
Siren amaran tsunami yang dipasang di Pusat Pembangunan Perikanan Seberang Takir, Kuala Nerus membolehkan penduduk menerima amaran lebih cepat sekiranya berlaku ancaman tsunami.
A
A
A

KUALA NERUS – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Terengganu menjalankan ujian siren amaran tsunami di Seberang Takir di sini sebagai langkah memastikan sistem amaran bencana itu berada dalam keadaan baik dan dapat berfungsi secara optimum.

Bunyi siren selama beberapa minit yang kedengaran sejauh kira-kira dua kilometer itu merupakan ujian terhadap menara amaran tsunami baharu setinggi 16 meter yang dipasang di Pusat Pembangunan Perikanan Seberang Takir.

Pengarah MetMalaysia Terengganu, Rosli Zakaria berkata, ujian berkenaan menggunakan teknologi dari Denmark yang mampu memberi liputan lebih luas berbanding sistem lama.

"Siren ini merupakan sebahagian projek menaik taraf sistem amaran tsunami. Keupayaan liputannya lebih jauh, sehingga dua kilometer, bergantung kepada keadaan cuaca dan bentuk muka bumi.

"Ia juga membolehkan penduduk menerima amaran lebih cepat sekiranya berlaku ancaman tsunami," katanya ketika ditemui di lokasi ujian, pada Ahad.

Beliau berkata, menara tersebut adalah yang keempat di Terengganu selepas Besut, Dungun dan Kemaman dengan kos setiap unit melebihi RM100,000.

Katanya, semua maklumat berkaitan amaran tsunami akan disalurkan dari Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Nasional, Ibu Pejabat MetMalaysia, Petaling Jaya.

Turut hadir menyaksikan ujian berkenaan ialah wakil penduduk setempat serta pegawai daripada Jabatan Perikanan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

 

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!