Program AZAM bantu asnaf jadi usahawan berjaya

SHAH ALAM - Program Pembiayaan Mikro Zakat Alliance Islamic Bank (AZAM) bukan sahaja mengubah hidup dan membantu usahawan asnaf menjana pendapatan, malah berjaya memulihkan semangat mereka untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.
Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Islamic Bank (AIS), Rizal Il-Ehzan Fadil Azim berkata, model pembiayaan program yang diperkenalkan sejak Disember 2023 itu memberi impak menyeluruh, bukan sekadar aspek kewangan.
Beliau berkata, sebagai contoh, impak program AZAM terhadap ekonomi peserta sangat baik dengan purata pendapatan perniagaan bulanan peserta meningkat 36 peratus.
“Secara puratanya, peningkatan tersebut adalah sebanyak 36 peratus daripada RM2,151 kepada RM2,924 sebulan. Ia peningkatan amat besar sekali.
“Ada pendapatan sebulan naik kepada 44 peratus sehingga tahap peserta boleh memerdekakan diri daripada status asnaf. Ada peserta lain daripada RM600 naik ke RM1,500 sebulan dengan peningkatan sehingga 150 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika program Interviu bertajuk ‘Impak Program AZAM’ yang dihoskan Haizir Othman di Studio F, Kompleks Karangkraf.
Selain peningkatan ekonomi, Rizal memaklumkan, pihaknya mendapati kualiti hidup dan kesejahteraan peserta AZAM turut menunjukkan perubahan ketara.

Ujarnya, seramai 90 peratus responden melaporkan peningkatan dalam kehidupan seharian mereka termasuk mampu membiayai pendidikan anak, rawatan kesihatan dan mempunyai masa berkualiti bersama keluarga. Lebih membanggakan, kadar oleh peserta program adalah 100 peratus iaitu satu angka yang mengatasi kadar pembayaran balik kebanyakan bank.
Tambah beliau, program berkenaan turut mendapat sam-butan apabila lapan daripada 10 peserta mencadangkan agar lebih ramai usahawan asnaf menyertai program itu, sekali gus menunjukkan keberkesanan AZAM.
Justeru, Rizal memberitahu, AIS berpuas hati memandangkan program AZAM bukan sekadar mengatasi isu ekonomi tetapi turut memberi banyak manfaat.
“Mungkin sebelum itu, ada asnaf sudah berputus asa dengan kehidupannya tetapi AZAM memulihkan harapan kepada asnaf tersebut untuk memperbaiki diri mereka sendiri melalui program-program bantuan seperti program AZAM,” ujar beliau.
Dalam pada itu, jelas Rizal, inisiatif berkenaan membuka dimensi baharu dengan memberi peluang kepada asnaf keluar daripada status penerima bantuan.
Beliau menambah, sehingga kini, kebanyakan peserta menunjukkan komitmen tinggi, malah ada yang berminat untuk menyambung pembiayaan bagi mengembangkan lagi perniagaan.
AIS juga akan meluaskan pelaksanaan Program AZAM ke seluruh negara, perbincangan sedang dijalankan bersama beberapa Majlis Agama Islam Negeri, termasuk Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan pihak berkuasa zakat susulan kejayaan inisiatif ini di Selangor.
Dalam pada masa yang sama, AIS juga menggalakkan penyumbang zakat yang berminat untuk menyalurkan dana zakat wakalah kepada program AZAM.
Untuk maklumat lanjut mengenai program ini, sila layari: www. alliancebank.com.my/Islamic/Business/ Financing/zakat-microfinancing
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

