Kes Zara Qairina: 'Kemungkinan besar kita minta inkues' - Peguam

KOTA KINABALU - Kemungkinan satu inkues akan diadakan bagi menyiasat punca kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, bergantung kepada keputusan penuh laporan bedah siasat yang akan diperoleh nanti.
Peguam Shahlan Jufri yang mewakili Noraidah Lamat, 45, berkata, langkah seterusnya selepas proses bedah siasat yang dilakukan pada Ahad adalah berbincang dengan ahli keluarga bagi menentukan tindakan yang akan diambil.
“Seterusnya, pihak peguam akan berbincang dengan keluarga. Kemungkinan besar kita minta inkues, tetapi bergantung juga pada keputusan bedah siasat. Laporan bedah siasat sekarang ini belum ada yang sempurna untuk disediakan.
“Cuma sekiranya kami atau ahli keluarga tidak berpuas hati dengan laporan bedah siasat, kami boleh minta inkues... itu yang paling utama,” katanya ketika memberi penerangan berhubung langkah seterusnya yang akan diambil selepas ini.
Shahlan sebelum itu telah berada selama lapan jam di bilik bedah siasat bagi menyaksikan proses yang dilakukan terhadap jasad Zara Qairina sebagai wakil keluarga.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa inkues tidak akan diadakan sekiranya terdapat suspek yang ditangkap dan dituduh di mahkamah.
“Cuma sekiranya ada suspek ditangkap dan dituduh, jadi tiadalah inkues... kalau ada kena tuduh, inkues tiadalah,” katanya.
Ditanya mengenai pegawai penyiasat yang mengendalikan kes, Shahlan memaklumkan terdapat pasukan khas namun beliau tidak pasti sama ada ia pasukan sebelum ini atau pasukan baharu.
“Setakat ini pegawai penyiasat mereka ada pasukan khas, cuma saya tidak tahu pasukan khas itu terdiri daripada yang dulu atau baharu... Saya tidak pasti (Bukit Aman),” katanya.
Beliau berkata, pihaknya sebelum ini juga telah membuat permintaan rasmi supaya kertas siasatan dikembalikan kepada Peguam Negara dan melantik pasukan penyiasat dari Bukit Aman.
“Memang kita minta dalam kenyataan media kami, kami minta Peguam Negara untuk kembalikan kertas siasatan dan lantik pasukan siasatan dari Bukit Aman, cuma keputusan itu, hasilnya kami belum tahu,” katanya.
Mengulas mengenai dakwaan bahawa ibu Allahyarham tidak meminta bedah siasat dilakukan, Shahlan menegaskan jika tiada bedah siasat dilakukan, kesalahan tidak boleh diletakkan di bahu Noraidah.
“Bedah siasat ini pihak di luar sana tidak boleh salahkan si ibu. ‘Oh, tiada buat bedah siasat, si ibu salah… siapa suruh tak buat bedah siasat,’ tidak boleh.
“Bedah siasat ini hanya pihak berautoriti (polis). Cuma kita tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya hari itu, kita tidak tahu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
