Gelombang solidariti buat Zara Qairina luar biasa

No Image Caption
A
A
A

MEMASUKI hampir satu bulan kes Zara Qairina Mahathir, gadis asal Sipitang yang maut dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama perempuan sebuah sekolah agama di Papar, Sabah hingga menjadi bualan ramai.

Mangsa, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu pada 17 Julai, sehari selepas kejadian.

Kes itu menarik perhatian ramai, khususnya di platform media sosial selepas ada yang mengaitkannya dengan dakwaan wujud elemen buli di sekolah terbabit.

Atas desakan dan keinginan untuk menuntut keadilan ekoran terdapat kejanggalan dalam kes tersebut, Malaysia menyaksikan ribuan orang ramai turun padang menyatakan solidariti sambil menggunakan tanda pagar #JusticeforZara.

Jumaat lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan memaklumkan, mayat Zara Qairina perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan.

Kubur arwah digali semula pada Sabtu sebelum jenazahnya dibawa ke Jabatan Forensik HQEI untuk tujuan bedah siasat.

Meskipun proses mengambil masa lapan jam, orang ramai khususnya rakyat Sabah tetap setia 'berkampung' di pekarangan kubur sehingga di hospital demi menantikan perkhabaran baharu mengenai gadis tersebut.

Tanpa menghiraukan hujan, cuaca panas bahkan tuntutan kerja, ia jelas bukti kebersamaan rakyat terhadap kes Zara Qairina dan ia amat mengundang sebak.

Sebaik selesai proses bedah siasat, jenazah dibawa ke tanah perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol Lama, Sipitang untuk dikebumikan semula.

Artikel Berkaitan:

Apa pun, diharapkan kenyataan mengenai hasil bedah siasat akan dikeluarkan segera bagi membolehkan pihak berkuasa mengumpul bukti untuk mengheret pelaku ke muka pengadilan.

Semoga ada sinar dalam kes Zara Qairina tidak lama lagi, kita tidak mahu isu kematian membabitkan elemen buli diam begitu sahaja atau tidak mendapat keadilan sewajarnya.

Hari ini masyarakat bersatu hati menggesa keadilan diberikan buat Zara Qairina dan semoga ia memberi timbangan kebaikan buat semua di akhirat nanti.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!