Impian rumah, realiti hutang seumur hidup

MEMILIKI rumah menjadi impian utama setiap rakyat. Ia simbol kestabilan, keselamatan dan kejayaan hidup.
Namun kini, impian itu semakin pudar apabila harga rumah kini terus melambung tinggi.
Ramai rakyat akhirnya terjerat dengan hutang bulanan yang membebankan, seolah-olah terperangkap dalam satu bentuk scam yang sah di sisi undang-undang.
Ini kerana pembeli terpaksa membayar hutang hingga ke usia pencen, malah mungkin dibawa hingga ke liang lahad.
Menurut Laporan Pasaran Harta Tanah H1 2025 oleh NAPIC, harga purata rumah di Malaysia meningkat kepada sekitar RM486,070, dengan pertumbuhan tahunan sekitar 0.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Di kawasan bandar utama seperti Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang, rumah teres biasa pun kini mencecah RM500,000 ke atas, mengatasi paras kelayakan bagi majoriti golongan berpendapatan rendah.
Realitinya, golongan M40 meraih pendapatan RM5,251 ke atas manakala B40 pula lebih rendah. Nisbah kemampuan masih berada pada tahap tidak mampu milik.
Lebih membimbangkan, rumah ‘mampu milik’ yang dicanang hanyalah sekadar slogan, sedangkan realitinya rakyat terpaksa menanggung beban bayaran selama 30 hingga 35 tahun.
Lebih separuh daripada tempoh bayaran itu dihabiskan untuk membayar faedah bank yang tinggi, bukan harga pokok rumah.
Bagi pinjaman RM300,000 selama 35 tahun, jumlah bayaran balik boleh mencecah hampir RM600,000 ianya dua kali ganda nilai asal. Inilah yang membuatkan ramai merasa seperti menjadi mangsa skim hutang berlesen.
Ironinya, harga rumah melonjak bukan semata-mata kerana kos bahan binaan, tetapi juga akibat spekulasi, pembelian borong oleh pelabur hartanah, serta kelemahan kawalan harga.
Generasi muda kini terpaksa memilih antara menyewa sepanjang hayat atau menanggung hutang sehingga ke liang lahad.
Dalam banyak kes, peminjam terpaksa ‘ikat perut’ demi melunaskan ansuran, mengorbankan kualiti hidup dan simpanan masa depan.
Kerajaan perlu menganggap isu ini sebagai krisis nasional, bukan sekadar masalah pasaran.
Jika harga rumah terus dibiarkan melambung, generasi akan datang bukan sahaja mewarisi hutang, malah hilang keyakinan bahawa memiliki rumah adalah sesuatu yang realistik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
