Proses gali semula kubur Zara Qairina selesai 7.15 malam, bedah siasat pagi esok

Jenazah Zara Qairina dibawa keluar dari kawasan tanah perkuburan menggunakan trak polis sebelum dibawa ke HQEI untuk proses bedah siasat.
Jenazah Zara Qairina dibawa keluar dari kawasan tanah perkuburan menggunakan trak polis sebelum dibawa ke HQEI untuk proses bedah siasat.
A
A
A

SIPITANG – Proses menggali kubur Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, di sini selesai pada jam 7.15 malam Sabtu.

Jenazah Zara Qairina dibawa keluar dari kawasan tanah perkuburan menggunakan trak polis sebelum dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk proses bedah siasat.

Proses penggalian kubur itu mengambil masa hampir dua jam dipercayai bermula sekitar jam 5.30 petang.

Pelaksanaan kerja penggalian dilakukan oleh Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan turut disaksikan beberapa pihak lain termasuk pasukan peguam Hamid Ismail dan Shahlan Jufri yang mewakili Noraidah Lamat, 45, ibu kepada Zara Qairina.

Hamid ketika ditemui pemberita selepas keluar dari tanah perkuburan memaklumkan bahawa proses tersebut berjalan lancar.

“Proses bedah siasat akan dijalankan pada jam 9 pagi esok di HQEI.

“Jam 7.15 selesai digali, saya sendiri melihat proses itu dan jenazah dibawa menggunakan trak polis,” katanya.

Sebelum itu, proses penggalian semula kubur diteruskan walaupun dalam keadaan hujan lebat.

Kawasan tanah perkuburan menjadi tumpuan penduduk kampung sejak jam 2 petang, manakala pengamal media hadir membuat liputan bagi proses gali semula kubur pelajar Tingkatan Satu tersebut.

Artikel Berkaitan:

Tinjauan Sinar Harian sebelum itu mendapati pasukan forensik PDRM tiba di tanah perkuburan pada jam 4.56 petang, diikuti kakitangan Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEIANS) dan Mufti Negeri Sabah.

Orang ramai dan pengamal media tidak dibenarkan menghampiri kawasan penggalian, dan tali garisan polis dipasang kira-kira 50 meter dari tanah perkuburan.

Pasukan polis turut mengawal ketat kawasan pekarangan tanah perkuburan sepanjang proses dijalankan.

Penggalian semula dilakukan selepas permohonan perintah menggali kubur dibuat tengah hari pada hari yang sama di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar.

Pasukan peguam dalam kenyataannya berharap proses itu berjalan lancar dan dipermudahkan oleh ALLAH SWT.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!