Hujan lebat tak halang proses gali kubur Zara Qairina dilakukan

SIPITANG – Proses penggalian semula kubur Allahyarhamah Zara Qairina sedang dijalankan walaupun dalam keadaan hujan lebat di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol Lama dipercayai bermula pada jam 5.30 petang, Sabtu.
Kawasan tanah perkuburan menjadi tumpuan penduduk kampung sejak jam 2 petang, selain kehadiran pengamal media yang membuat liputan berhubung proses penggalian semula kubur pelajar Tingkatan Satu tersebut.
Tinjauan Sinar Harian mendapati pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) tiba di tanah perkuburan pada jam 4.56 petang, diikuti kakitangan agensi berkaitan termasuk Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Mufti Negeri Sabah.
Turut hadir menyaksikan proses tersebut ialah pasukan peguam Hamid Ismail dan Shahlan Jufri yang mewakili ibu kepada Zara Qairina, Noraidah Lamat, 45.
Orang ramai dan pengamal media tidak dibenarkan berada di kawasan penggalian, dan tali garisan polis dipasang kira-kira 50 meter dari lokasi perkuburan.

Pasukan polis turut mengawal ketat kawasan pekarangan tanah perkuburan tersebut.
Penggalian semula dilakukan selepas permohonan perintah menggali kubur dibuat pada tengah hari, hari yang sama, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar.
Pasukan peguam dalam kenyataannya berharap proses itu berjalan dengan lancar dan dipermudahkan oleh Allah SWT.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata PDRM akan menggali semula kubur Zara Qairina secepat mungkin untuk melengkapkan siasatan kes kematian pelajar itu susulan arahan Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Jumaat.
AGC dalam kenyataannya memaklumkan, mayat Zara Qairina perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
