Bedah siasat Zara Qairina wajib elak sebarang isu berbangkit - Armizan

Armizan
Armizan
A
A
A

SHAH ALAM - Pegawai penyiasat mempunyai kewajipan untuk menentukan bedah siasat Zara Qairina Mahathir sebagaimana termaktub dalam Seksyen 330 Kanun Tatacara Jenayah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sewajarnya dari peringkat awal lagi dalam kes kematian tidak jelas punca dan situasinya, bedah siasat wajib dilaksanakan untuk mengelakkan sebarang isu berbangkit sebagaimana yang berlaku dalam kes ini.

Menurutnya, kenyataan Pejabat Peguam Negara yang mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melaksanakan siasatan susulan termasuk melakukan bedah siasat dengan menggali semula kubur Zara Qairina amatlah bertepatan.

"Diharap PDRM membuat tindakan susulan segera untuk proses bedah siasat. Sungguhpun mungkin masih terlalu awal untuk diputuskan, namun pihak berkuasa perlu terbuka untuk mempertimbangkan diwujudkan inkues sekiranya keadaan menuntut kelak.

"Prosiding inkues adalah platform yang tersedia dalam sistem perundangan negara untuk membolehkan segala perkara dan situasi diteliti melalui sebanyak mungkin saksi yang relevan. Orang awam pula diberikan akses untuk mengikutinya secara terbuka dan mendapat maklumat.

"Ini amat penting dalam keadaan sesuatu kes yang telah mendapat perhatian umum luar biasa dan mengundang pelbagai spekulasi dan fitnah," katanya pada Sabtu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Betitik sempena Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama 2025 bertempat di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama, Kampung Lok Batik, Tuaran.

Sebelum ini, proses menggali semula kubur Zara Qairina akan dilakukan pada Sabtu petang selepas permohonan perintah menggali kubur dibuat tengah hari di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar.

Perkara itu disahkan peguam Hamid Ismail dan Shahlan Jufri yang mewakili Noraidah Lamat, 45, iaitu ibu kepada Zara Qairina.

Artikel Berkaitan:

Tambah Armizan, sememangnya terdapat segelintir pihak cuba mengambil kesempatan dengan membuat spekulasi bermotif tertentu, namun majoriti rakyat di luar sana tetap mencari kebenaran dan menuntut keadilan.

"Keadilan perlu ditegakkan buat arwah Zara, sebarang spekulasi dan fitnah perlu dibendung melalui proses yang telus serta teratur berpaksikan kepada undang-undang.

"Tidak berniat untuk mencampuri siasatan, ini adalah pandangan peribadi saya," ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!