Maritim Malaysia sambung misi cari kru kapal layar Daisy hilang di Pulau Yu

PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengaktifkan semula operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan seorang kru kapal layar Daisy, warga Turkiye yang masih hilang di perairan Pulau Yu, Terengganu.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah, berkata, pencarian disambung selepas menerima permohonan rasmi Kedutaan Besar Turkiye melalui Kementerian Luar Negeri pada 8 Ogos lalu.
“Mangsa, Eser Demirkol adalah seorang daripada tiga kru yang terlibat dalam insiden kapal layar karam pada 31 Julai lalu. Dua kru lain berjaya ditemui sebelum ini.
“Operasi kali ini akan memfokuskan kawasan antara lokasi kapal disyaki karam dan lokasi penemuan mangsa kedua,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, pencarian melibatkan penggunaan aset laut dan udara Maritim Malaysia bagi mengoptimumkan liputan misi.
“Maritim Malaysia komited melaksanakan operasi ini dan akan berusaha sedaya upaya sehingga menemui petunjuk positif keberadaan mangsa.
“Komuniti maritim dan orang ramai diminta menyalurkan maklumat sekiranya menemui sebarang tanda berkaitan mangsa dengan menghubungi talian kecemasan 999 atau MRCC Putrajaya di 03-8941 3140 yang beroperasi 24 jam,” katanya.
Sebelum ini, operasi mencari dan menyelamat dijalankan selama tujuh hari meliputi kawasan seluas 457.61 batu nautika persegi membabitkan aset laut, udara serta penyelam Special Tasks and Rescue Team (STAR Team) dengan bantuan Remotely Operated Vehicle (ROV).
Bagaimanapun, operasi yang ditamatkan pada 6 Ogos lalu tidak menemui sebarang petunjuk keberadaan mangsa.
Media sebelum ini melaporkan tiga lelaki warganegara Turkiye iaitu kapten kapal Ahmet Volkan Ata, 52; Ates Demiroren, 42; dan Demirkol, 52, yang merupakan peserta pelayaran merancang melakukan siri jelajah mengelilingi benua dari Malaysia ke negara asal mereka.
Bagaimanapun, kapal layar itu dilanda ribut dan dipercayai karam di perairan Pulau Yu.
Demiroren dijumpai dan diselamatkan oleh nelayan tempatan, manakala Volkan Ata ditemui selamat oleh bot nelayan tempatan setelah lebih 40 jam berenang di laut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

