Dua pelancong warga Turkiye dikhuatiri hilang, kapal layar karam dipukul ribut di perairan Terengganu

Kapten kapal layar itu antara individu yang masih belum ditemui.
Kapten kapal layar itu antara individu yang masih belum ditemui.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Dua pelancong warga Turkiye dikhuatiri hilang selepas kapal layar yang dinaiki mereka karam akibat dipukul ribut di perairan Pulau Yu kira-kira 30 batu nautika dari sini pada Selasa lalu.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, kapal layar bernama Daisy itu dikatakan dalam perjalanan dari Pulau Tioman menuju ke Pattani, Thailand sebelum dilaporkan dipukul ribut dan terbalik di tengah laut.

"Kita menerima laporan kejadian membabitkan sebuah kapal layar yang berdaftar di bawah bendera negara Turkiye telah karam di perairan negeri ini.

"Kejadian itu menyebabkan tiga individu termasuk seorang kapten dan dua pelancong lelaki warga Turkiye terjatuh ke laut.

"Bagaimanapun, seorang daripada mangsa dikenali sebagai Ates Demiroren berjaya diselamatkan kru sebuah kapal tunda tempatan selepas hanyut di laut selama kira-kira 25 jam," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, mangsa yang berjaya diselamatkan telah dibawa ke Balai Polis Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut, manakala dua lagi individu termasuk kapten kapal masih belum ditemui.

Susulan itu, katanya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) jam 3 petang tadi.

"Bot Peronda Maritim iaitu Perkasa 48 telah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi pencarian mangsa yang masih hilang.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau penemuan berkaitan kejadian ini yang boleh membantu usaha pencarian diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu di talian 013-7464357 (24 jam)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!