Mangsa kapal layar karam rancang keliling benua - Polis

Kapal layar Daisy yang karam akibat dibadai ribut. (Gambar kecil: Azli)
Kapal layar Daisy yang karam akibat dibadai ribut. (Gambar kecil: Azli)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tiga warga Turkiye yang ditimpa tragedi kapal layar karam dalam misi jelajah mengelilingi benua dari Malaysia ke Istanbul.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, ketiga-tiga mereka merupakan peserta pelayaran merentas benua yang dirancang bermula dari Pelabuhan Kuantan ke Pelabuhan Istanbul, Turkiye.

"Kapten kapal, Ahmed Volkan Ata, 51, membawa kapal layar Daisy dari Jackson Port Bay, Sydney, Australia dan berlabuh di Pelabuhan Kuantan sebagai lokasi permulaan pelayaran.

"Dua lagi rakan iaitu Ates Demiroren, 41, dan Eser Demirkol, 51, masing-masing dari Krabi, Thailand dan Singapura bertolak ke Kuantan menggunakan pengangkutan awam untuk menyertai ekspedisi berkenaan," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau berkata, pada 28 Julai lalu kira-kira jam 5 petang, kapal layar Daisy memulakan pelayaran sulung ke destinasi pertama iaitu Pelabuhan Pattani, Thailand.

Bagaimanapun, pada 29 Julai kira-kira jam 2.30 pagi, kapal layar tersebut dilaporkan dibadai ribut dan karam di perairan Pulau Yu, dekat Pulau Redang.

"Hanya Ates Demiroren berjaya menyelamatkan diri dengan terapung di permukaan laut sebelum ditemui nelayan tempatan kira-kira jam 12 tengah hari tadi dalam keadaan lemah.

"Mangsa kemudian dibawa ke Jeti Pulau Duyung dan dirujuk ke HSNZ untuk rawatan lanjut," katanya.

Azli berkata, kejadian telah dimaklumkan kepada Jabatan Laut Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Kedutaan Turkiye untuk tindakan susulan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Kedutaan Turkiye juga akan menanggung sepenuhnya segala urusan membabitkan warganegara mereka termasuk kepulangan mangsa selepas pulih.

Tambah beliau, Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) telah diaktifkan oleh pasukan penyelamat dan perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!