Kubur Zara Qairina digali semula ikut peruntukan undang-undang - Polis

Allahyarhamah Zara Qairina
Allahyarhamah Zara Qairina
A
A
A

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan prosedur menggali semula kubur pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir dengan kadar segera bagi tujuan bedah siasat ke atas jenazah mengikut peruntukan Seksyen 331 dan Seksyen 335 Kanun Tatacara Jenayah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, tindakan itu diambil selepas laporan siasatan kes tersebut diteliti dan dinilai oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).

Menurutnya, hasil penilaian mendapati proses itu penting bagi memperoleh maklumat dan bukti tambahan yang diperlukan untuk melengkapkan siasatan.

"Aturan bagi proses menggali semula kubur dan bedah siasat jenazah akan dilakukan segera berpandukan Seksyen 331 dan Seksyen 335 Kanun Tatacara Jenayah.

"Prosedur ini adalah langkah penting untuk memastikan semua bukti dapat dikumpulkan secara menyeluruh," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya, PDRM komited menegakkan keadilan dan menjalankan siasatan mengikut lunas undang-undang berdasarkan fakta serta keterangan yang diperoleh.

"Siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh dan kertas siasatan akan dirujuk semula kepada AGC dalam tempoh terdekat," katanya.

Terdahulu, AGC mengesahkan keperluan untuk menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berusia 13 tahun itu.

Jabatan itu dalam satu kenyataan berkata, keputusan tersebut dibuat selepas penelitian dilakukan terhadap laporan penuh siasatan awal yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes kematian remaja terbabit.

Artikel Berkaitan:

Media sebelum ini melaporkan satu laporan polis tambahan telah dibuat oleh keluarga mangsa pada 30 Julai di Balai Polis Sipitang termasuk permohonan agar kubur Zara Qairini digali semula bagi membolehkan satu inkues dijalankan.

Ia susulan tiada bedah siasat dilakukan terhadap jenazah Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, selepas remaja itu disahkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu, dedah peguam Hamid Ismail dan Shahlan Jufri yang mewakili ibu mangsa, Noraidah Lamat, 45.

Pada Rabu lalu, AGC telah menyerahkan semula laporan siasatan awal kepada polis untuk melengkapkan siasatan kes kematian remaja berkenaan.

Zara Qairina dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia sehari kemudian di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!