Murid Tahun Enam dakwa diraba guru besar

MELAKA – [DIKEMAS KINI] Seorang murid Tahun Enam di sebuah sekolah rendah di sini disyaki menjadi mangsa gangguan seksual oleh guru besar sekolah berkenaan sejak Jun lalu.
Perbuatan jijik itu terbongkar selepas kanak-kanak lelaki terbabit menceritakan kejadian dia diraba oleh guru berusia 58 tahun itu kepada ibunya yang kemudian bertindak membuat laporan di Balai Polis Melaka Tengah pada Jumaat lalu.
Sumber memaklumkan, anak sulung daripada tiga beradik itu mendakwa diganggu sebanyak dua kali ketika berada di tandas dan pejabat guru terbabit.
“Kejadian terbaru berlaku pada jam 8 pagi, 29 Julai lalu, ketika dia bersama dua rakannya pergi ke tandas sekolah. Suspek dilaporkan memasuki tandas dan meminta rakan mangsa kembali ke kelas.
“Suspek kemudian memeluk mangsa dari belakang sambil memegang punggungnya dan berbisik ‘I love you’,” menurut sumber tersebut.
Sumber turut memberitahu, mangsa mengalami pengalaman serupa pada Jun lalu ketika suspek meminta bantuannya bersama seorang rakan meletakkan klip pada sijil di pejabat suspek.
“Tiba-tiba, suspek memeluk dan meraba punggung, dada serta bahagian sensitif mangsa di hadapan rakannya.
“Kejadian itu tidak diceritakan kepada ibunya kerana takut dimarahi, namun mangsa akhirnya terpaksa membuka mulut selepas tidak tahan dengan gangguan seksual berulang yang dilakukan oleh guru besar terbabit,” kata sumber berkenaan.
Difahamkan, polis telah merakam keterangan saksi dan melakukan siasatan di tempat kejadian sebelum menahan suspek.
Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan menerima laporan polis bagi kes ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

