Tekanan emosi akibat buli siber dan gangguan seksual, Sophia Albarakbah buat laporan polis

SHAH ALAM - Pelakon jelita, Sophia Albarakbah mengambil tindakan tegas dengan membuat laporan polis berhubung kes buli siber dan gangguan seksual yang diterimanya selepas memenangi kategori Selebriti Feminin Terhangat pada satu majlis anugerah baru-baru ini.
Menurut peguamnya, Aizat Izuan Shakeel, Sophia terkesan dengan tekanan emosi susulan kejadian itu sejak hampir seminggu lalu.
“Anak guam kami, Sophia amat terkesan dengan segala perkara yang telah berlaku sejak seminggu ini.
"Bermula daripada selepas dia dinobatkan sebagai Selebriti Feminin Terhangat yang mana kita semua tahu adalah perkara yang berlaku. Saya pun tak nak sentuh,” kata Aizat.
Beliau menjelaskan, akibat peristiwa berkenaan, Sophia mengalami tekanan emosi yang serius dan bimbang ia boleh menjejaskan kesihatan mentalnya.

“Berikutan peristiwa tersebut selama hampir seminggu ini, dia mengalami tekanan emosi.
"Kami bimbang, perkara ini boleh sampai mengganggu kesihatan mental seseorang. Anak guam kami pun memang amat terkesan,” jelasnya.
Aizat berkata, kesan tekanan yang dialami anak guamnya amat mendalam sehingga mendorongnya membuat laporan polis dan tuntutan undang-undang demi menjaga hak dan maruah.
“Saya boleh jawab bagi pihak dia, kalau soalan mengenai kesan, ia amat mendalam.
"Jadi sebab itulah akhirnya, hari ini anak guam saya mengambil keputusan berani tampil membuat tuntutan daripada sudut undang-undang," jelasnya lagi.
Tambahnya, pihak berkuasa perlu bertindak tegas agar tiada lagi artis, selebriti atau orang awam menjadi mangsa buli siber dan gangguan.
“Pihak berkuasa, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) jangan biarkan lagi ada mana-mana artis, selebriti atau orang awam yang menjadi mangsa kepada buli siber,” tegasnya.
Ditanya sama ada Sophia menyesal menerima anugerah berkenaan, Aizat menjelaskan malam anugerah itu sepatutnya menjadi saat paling menggembirakan.
“Perkara ini pun saya sudah bincang panjang dengan anak guam. Jadi apa yang dijelaskan oleh Sophia, malam itu sepatutnya pada menjadi malam kemenangan yang patut nikmati penuh kegembiraan.
“Dia memang bersyukur atas kemenangan dan berterima kasih kepada semua yang telah mengundi, tetapi tidak sangka dirinya tidak dapat menikmati momen berkenaan walaupun dalam masa 24 jam," katanya lagi.
Sophia memenangi kategori Selebriti Feminin Terhangat pada majlis anugerah yang berlangsung Ahad lalu. Anugerah tersebut disampaikan oleh penyanyi dan pelakon, Bella Astillah. - Media Hiburan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
