OKU mental abadikan kisah Nurly Sahirah dalam buku

BESUT – Kisah hidup seorang hafizah 30 juzuk al-Quran, Allahyarhamah Nurly Sahirah Azman, yang meninggal dunia akibat nahas bas di Gerik, Perak pada 9 Jun lalu, menjadi inspirasi kepada seorang orang kurang upaya (OKU) mental untuk membukukan perjalanan hidup arwah.
Penulis bebas, Nik Noor Azlie Raja Seman, 39, berkata, jiwanya terusik sebaik mengetahui kisah hidup gadis itu, yang meninggal dunia sambil memeluk al-Quran bersama 15 lagi pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam nahas tersebut.
Menurutnya, kisah arwah Nurly memberi semangat baharu untuknya menamatkan hafazan al-Quran yang tertangguh sejak 25 tahun lalu selepas mengalami penyakit bipolar.
“Saya mengalami penyakit Bipolar Type II, jadi selepas tahu insiden menyayat hati itu, ia meninggalkan kesan mendalam terhadap saya sehingga tidak dapat tidur lena.
“Pada mulanya, dalam tempoh seminggu, saya memilih untuk tidak terlalu memikirkan kejadian itu kerana ia akan memberi tekanan kepada diri saya. Paling singkat ambil masa beberapa hari untuk hilang, dan ada sehingga berbulan untuk saya pulih.
“Kebetulan ketika itu saya sedang menyiapkan bot Telegram tentang sinopsis 114 surah dalam al-Quran melalui laman @qurandihati,” katanya ketika ditemui di rumah arwah Nurly di Kampung Gong Pasir, di sini pada Jumaat.

Bagaimanapun, Nik Noor Azlie mengakui seminggu selepas kejadian, fikirannya dibanjiri ilham tanpa henti sehingga mendorongnya mengabadikan kisah insan mulia yang begitu mencintai al-Quran itu dalam bentuk penulisan.
“Dalam masa seminggu, saya jadi manic (mania) di mana idea datang bertalu-talu tanpa henti. Jam 2 pagi, saya mula menulis sinopsis 114 surah al-Quran yang turut diinspirasikan kisah arwah.
“Selepas itu, saya dan isteri terus membuat keputusan pulang ke kampung untuk memulakan penulisan,” katanya yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan.
Sementara itu, bapa Allahyarhamah, Azman Mohamad, 63, berkata, pihak keluarga bersyukur kerana kisah hidup anaknya dapat dibukukan, sekali gus menjadi tatapan masyarakat yang ingin mengetahui kejadian sebenar di sebalik tragedi menimpa arwah.
“Pihak keluarga amat bersetuju sebab bukan hanya melalui liputan media sahaja kita dapat baca kisah arwah anak, malah turut dibukukan untuk tatapan dan bacaan umum.
“Dengan adanya buku ini, saya rasa persoalan terutama bagi mereka yang tidak boleh datang ke sini sedikit sebanyak terjawab,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
