'Arwah Nurly buat saya kenal erti cinta kepada ALLAH' - Muhammad Aris

BESUT – Kunjungan dua warga Perancis ke pusara Allahyarhamah Nurly Sahirah Azman yang terkorban dalam tragedi bas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik bulan lalu menarik perhatian ramai.
Bapa arwah, Azman Mohamad, 63, berkata, kedua-dua mereka yang merupakan adik-beradik tiba di kediamannya untuk menziarahi pusara anaknya itu pada Jumaat.
Menurutnya, salah seorang daripada mereka ialah seorang wartawan televisyen dari Perancis dikenali sebagai Muhammad Aris manakala adiknya, Fatimah kini bekerja di Kuala Lumpur.
"Muhammad Aris kebetulan datang berjumpa Fatimah di Kuala Lumpur sebelum ke Duyong, Kuala Terengganu dan singgah ke rumah kami untuk menziarahi kubur arwah Nurly.
"Katanya, sejak mendengar berita tragedi itu mereka menyimpan hasrat untuk datang sendiri, merasai suasana di sini dan kami amat berbesar hati menyambut kehadiran mereka berdua.
"Kedua-duanya berkongsi pengalaman mencium haruman ketika berada di pusara arwah, sedangkan kami sekeluarga sendiri pun belum pernah merasai bau seperti itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Jelas Azman, walaupun telah hampir dua bulan tragedi menimpa anaknya, orang ramai masih tidak putus-putus mengunjungi pusara Allahyarhamah setiap hari.
"Semalam sahaja, lebih 3,000 pengunjung hadir ke pusara arwah Nurly. Kalau hari biasa jumlahnya agak berkurangan. Kebanyakan yang datang adalah dari dalam negara.
"Macam hari ini, sebelah pagi sahaja dalam 200 orang. Setakat ini semua pengunjung masih datang awal, cuma kami sekeluarga kadangkala tidak sempat melayani kesemua mereka," katanya.
Dalam video tular berdurasi dua minit empat saat sebelum ini, Muhammad Aris dan Fatimah dilihat meluahkan rasa syukur kerana diberi peluang menziarahi pusara arwah Nurly.
“Saya seorang Muslim. Saya datang kerana saya ingin mendekatkan diri dengan orang yang mencintai ALLAH. Arwah ini yang menyebabkan saya semakin mengenali Islam. Subhanallah,” kata Muhammad Aris.
Tambahnya, beliau berazam untuk menamatkan bacaan al-Quran apabila pulang ke Perancis nanti.
“Sekarang saya belum khatam al-Quran tetapi selepas balik nanti, saya akan usaha untuk tamatkan. Saya percaya apa yang saya alami di sini menunjukkan kebesaran ALLAH,” katanya.
Fatimah pula berkata, kunjungannya ke pusara itu memberi inspirasi untuk terus mendekatkan diri kepada kitab suci al-Quran.
“Saya ajak abang saya datang, sebab saya rasa terpanggil apabila tahu ada pelajar yang meninggal dunia dalam tragedi bas dan dikatakan menghafaz al-Quran. Hati ini kuat untuk datang.
“Saya ucap tahniah kepada pak cik kerana berjaya mendidik anak dengan baik... Semoga ALLAH merahmatinya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
