Kes Zara Qairina: Peguam dakwa kertas siasatan dihantar ke AGC tidak lengkap

Perdana Menteri sebelum ini menegaskan kes kematian Zara Qairina tidak boleh dipandang ringan.
Perdana Menteri sebelum ini menegaskan kes kematian Zara Qairina tidak boleh dipandang ringan.
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Pasukan peguam mewakili ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir mendakwa bahawa kertas siasatan yang dihantar kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak lengkap.

Peguam, Ismail Hamid dan Shahlan Jufri berkata, ia susulan kegagalan pihak polis mengambil pakaian dan barang peribadi milik remaja tersebut yang dipercayai boleh menjadi bahan bukti penting dalam siasatan.

"Kami berpendapat bahawa kertas siasatan yang dihantar ke Jabatan Peguam Negara adalah tidak lengkap, tidak menyeluruh dan mempunyai fokus yang sangat kecil.

"Apatah lagi, tidak ada bedah siasat dilakukan terhadap jenazah Zara sebelum pengebumiannya," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sehubungan itu, pihak peguam berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sebelum ini menunjukkan keprihatinan terhadap kes berkenaan, menasihati Peguam Negara untuk mengembalikan semula kertas siasatan kepada polis.

“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri di atas keprihatinannya terhadap kes ini.

“Kami berharap beliau dapat menasihati Peguam Negara supaya kertas siasatan dikembalikan semula kepada pihak polis serta bersetuju dengan cadangan kami untuk mengadakan bedah siasat dan inkues dengan seberapa segera," katanya.

Langkah itu, menurut mereka, penting bagi menentukan punca sebenar kematian Zara, khususnya jika wujud sebarang unsur jenayah yang belum dikenal pasti.

Terdahulu, Anwar menegaskan bahawa kes kematian remaja berusia 13 tahun itu tidak boleh dipandang ringan dan perlu diberi perhatian serius.

Artikel Berkaitan:

Pihak polis sebelum ini memaklumkan kertas siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dan kini sedang menunggu arahan lanjut.

Zara Qairina dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia sehari kemudian di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).

Kematian tragis remaja itu mencetuskan gelombang simpati dan kemarahan rakyat, terutama selepas dikaitkan dengan dakwaan buli di sekolah terbabit.

Tanda pagar #JusticeForZara digunakan secara meluas di media sosial sebagai solidariti menuntut keadilan dan siasatan telus.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!