Malaysia rugi jika tidak buka pasaran perdagangan kepada semua rakan - Bank Dunia

SHAH ALAM - Malaysia berisiko mengalami kerugian ekonomi jika hanya membuka pasaran perdagangan kepada satu negara berbanding memberi akses sama rata kepada semua rakan dagangan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Apurva Sanghi berkata, tindakan memberi keistimewaan cukai import hanya kepada Amerika Syarikat (AS) boleh mengakibatkan kehilangan hasil cukai tanpa memberi manfaat menyeluruh kepada pengguna serta negara.
"Layanan istimewa membawa kepada penciptaan dan peralihan dagangan. Jika diberikan kepada negara kurang cekap dari mana barangan diimport, kesan negatif peralihan serta kehilangan hasil tarif lebih besar daripada kesan positif penciptaan perdagangan.
"Masalah timbul apabila layanan istimewa diberikan kepada negara yang kurang cekap menghasilkan barangan.
"Dalam kes ini, kesan buruk seperti kehilangan hasil cukai dan perdagangan tersasar menjadi lebih besar berbanding manfaat perdagangan baharu," katanya menerusi hantaran di laman X pada Jumaat.
Memberi contoh mudah, beliau menggambarkan situasi Malaysia mengimport dua jenis kereta iaitu Tesla dari AS dan BYD dari China dengan harga asal tanpa cukai masing-masing ASD30,000 (Tesla) dan ASD20,000 (BYD).
Dengan cukai import 100 peratus jelasnya, harga Tesla naik kepada ASD60,000 manakala BYD kepada ASD40,000.
"Disebabkan lebih murah, semua pengguna akan pilih BYD. Namun jika selepas satu perjanjian cukai import dihapuskan untuk Tesla, harga kereta itu jatuh kepada ASD30,000 manakala BYD kekal $40,000.
"Pengguna akan beralih kepada Tesla kerana jimat, tetapi kerajaan tidak mendapat cukai kerana Tesla dikecualikan dan negara rugi ASD500,000 jika terdapat 50 pembeli kereta," jelas beliau.
Menurut Apurva, sekiranya Malaysia menurunkan tarif untuk semua negara, harga BYD akan kembali kepada ASD20,000 dan rakyat dapat penjimatan lebih tinggi.
Walaupun kerajaan tetap tidak mengutip cukai, beliau berkata, kesan bersih kepada ekonomi adalah sifar dan jauh lebih baik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
